Siri Kembara Hamka Bersama Jejak Tarbiah di Padang, Indonesia

Kembara ini bertujuan menjejaki kisah hidup Buya Hamka, seorang ulama yang dikenang bukan hanya kerana ilmunya, tetapi juga karya sastera. 

Jejak Tarbiah (JT) yang menawarkan pakej kembara ini merupakan sebuah syarikat yang berpusat pada dunia buku—penerbitan, kedai buku, kafe buku, seminar, dan kebajikan. 

Salah satu kegiatan JT yang menarik perhatian saya adalah bibliotourism, satu bentuk pelancongan berkisarkan buku. Ada yang mengaitkannya dengan lawatan ke perpustakaan,  kedai buku dan tempat bersejarah berkaitan penulis seperti muzium, kafe dan kubur. Sudah lama saya teringin nak pangkah atlas, tempat-tempat yang diceritakan atau dikaitkan dengan buku dan penulis. 

Karya Hamka paling berbekas di hati saya berjudul ‘Merantau ke Deli’ (menangis di bucu katil baca) dan ‘Di Tepi Sungai Dajlah’, boleh dapat buku-buku ini melalui JT. Jika sebelum ini saya ikuti pengembaraan Hamka ke Amerika, Mesir, Iraq dan zaman sebelum merdeka melalui lautan aksara, kini namanya membawa saya melangkah lebih jauh—ke tanah kelahirannya di Indonesia, dengan izin Tuhan. 

Ini kisah bagaimana semuanya bermula dan berakhir:

7 Ogos 2024 

Suatu hari, iklan Kembara Jejak Tarbiah ke Indonesia mengetuk peti emel saya, merampas perhatian dengan tawaran empat pakej menarik:

Saya memilih pakej bulan Disember kerana harganya paling jimat dan masa sesuai. Bagi kami yang bergiat dalam sektor pelancongan di Terengganu, musim monsun dan bulan Ramadan adalah waktu untuk kami bertenang dan melancong. Sebaliknya, dari Mac hingga Oktober, kami pula sibuk melayan pelancong.

6 September 2024 

Setelah sebulan tenggelam dalam kesibukan dan rutin harian, saya hampir terlupa tentang kembara ini—sehinggalah ibu mula membebel, mengingatkan saya untuk bertindak cepat. 

Saya segera WhatsApp Cik Syuhada, atau lebih mesra dipanggil Kak Syu, untuk mendaftar. Syukur, masih ada kekosongan untuk empat orang.

Saya ajak ibu dan ayah sebab mereka memang sukakan perjalanan yang ada pengisian Islamik seperti ini, dan sudah 10 tahun ibu kata nak ke Indonesia. Bila nak travel, kena cepat bertindak—daftar awal, bayar deposit, dan uruskan passport. Kalau lambat, memang tinggal angan-angan saja.

25 Disember 2024 

Jika solo, mungkin saya redah naik bas ke KL dan  merempat di kaki lima airport, atau cuba kapsul hotel yang sesempit keranda itu. Tetapi kali ini, saya mahu pastikan ibu dan ayah selesa. Lagipun KLIA2 sesak dengan manusia dan ‘hantu travel’ pada musim cuti ini. 

Jadi, saya tempah tiket penerbangan KT-KLIA2 dan hotel Tune di sebelah airport menggunakan aplikasi Trip.com.

Malam itu, kami hanya tidur-tidur ayam kerana risau tertinggal flight. Belum sempat ayam bangun berkokok, kami sudah terjaga dan bersiap untuk berkumpul di kaunter bagasi pada pukul 5 pagi.

Hari Pertama: 26 Disember 

Kami bertemu pihak penganjur dan jemaah lain yang sudah berkumpul untuk urusan check-in. Dapat goodies bag berisi kalendar, poskad, risalah, dan buku Kenangan Hidup Hamka.
Selesai urusan, bagasi ditimbang dan dimasukkan ke kargo. Berat bagasi tak boleh melebihi 20 kg, manakala beg tangan hanya 7 kg.

Bagasi kami, yang kelihatan seperti nak pergi umrah balik hari, sebenarnya masih banyak ruang kosong- untuk diisi dengan buku dari Indonesia. Tapi, saya kena berpada-pada, takut nanti kapal terbang senget nak bawa balik buku. 

Sekitar jam 7.20 pagi, pesawat AK 403 berlepas ke Padang. Kapal terbang meluncur merempuh awan yang kelihatan seperti gula-gula kapas, diselangi sedikit gegaran kecil.

Saya sempat berdoa kepada Allah, memohon perlindungan dan kemudahan sepanjang perjalanan. Ada rasa gusar di hati, kerana tarikh itu genap 20 tahun tragedi Tsunami. Tambahan pula, Padang terletak di tepi Lautan Hindi— yang kelihatan seperti kota miniatur dari tingkap pesawat, mengingatkan saya kebesaran Ilahi. 

Alhamdulillah, selamat mendarat di Bandara Minangkabau. Suka tengok bumbung bangunannya yang tajam seperti tanduk kerbau. Bas tersedia tunggu di depan airport:

Bas yang menemani kami setiap perjalanan. Kredit foto: Media Jejak Buku & Kopi

Kembara ini disertai 3 orang kru JT dan 28 orang peserta dari pelbagai negeri dan dipantau oleh Puan Saadiah, big boss JT dari Malaysia. Puan Saadiah dan pasukannya turun ke airport bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan hantar kami berlepas. 

Saya, ibu dan ayah duduk belakang sekali. Kredit foto: Media Jejak Buku & Kopi

Permusafiran ini hanya berlangsung selama 4 hari 3 malam (26-29 Disember 2024). Asalnya mahu cerita dalam bentuk diari namun saat menulis, terlalu panjang pula jalan ceritanya jadi saya pecahkan kisah kembara ini menjadi artikel bersiri yang di-update dari semasa ke semasa (Boleh klik link untuk baca).  

1) Aie Angek Cottage: Hotel Berkonsep Muzium, Kafe dan Perpustakaan di Padang, Indonesia 

2) Soto Padang, Es Jeruk dan Teh Talua 

3) Petualangan Alam Di Lembah Anai

4) Berbusana Pengantin Di Pusat Dokumentasi Minangkabau 

5) Masakan Padang Di Indonesia, Dan Keterjaminan Makanan

Hari Kedua: 27 Disember 

6) Cinta Buya Hamka Terbenam Di Surau Batipuh 

7) Masjid Asasi- Antara Masjid Tertua dan Magikal Di Indonesia

8) Nagari Pariangan: Antara Desa Tercantik Di Dunia, Seperti Desa Si Pari-pari Dalam Cerita Dongeng  

9) Memburu Jus Alpukat Atau Avokado di  Padang, Indonesia 

10) Bika Talago: Kuih ‘Neraka’ Tetapi Rasa ‘Syurga’ 

Hari Ketiga: 28 Disember 

11) Jejak Buya Hamka di Danau Maninjau

Hari Keempat: 29 Disember 

12) Akhirnya Sampai Ke Gramedia!

Selamat Malam, Bumi Minangkabau 

Pesawat AK 404 berlepas pulang ke tanah air dan masa depan (zon waktu Malaysia sejam awal dari Indonesia). Hari sudah gelap sewaktu kapal terbang mendarat. 

Berkali-kali saya memeriksa isi beg, memastikan tiada apa yang tertinggal. Tetapi mengapa saya rasa kosong? Rupanya hati tertinggal di sana, nun jauh di Maninjau (dan Gramedia). 

Hujan emas di negeri orang, hujan lebat dan banjir di negeri sendiri. Apa pun, hujan itu tetap satu rahmat dan rezeki. Syukur Alhamdulillah, dapat pulang dengan selamat bersama keluarga dan buku-buku tersayang. 

Terima kasih Tuhan, atas nikmat yang infiniti dan peluang menjelajah bumi ciptaanMu yang luas, pihak penganjur Jejak Tarbiah, rakan-rakan jemaah satu bas yang sporting dan orang-orang Padang yang baik dan sopan santun.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top