Masjid Asasi- Antara Masjid Tertua dan Magikal Di Indonesia

Sepanjang perjalanan, saya melihat banyak masjid menghiasi serata kampung. Di ranah Minang, adat dan agama berpisah tiada sejak berkurun lamanya. Salah satu manifestasi hubungan erat ini dapat dilihat di Masjid Asasi, antara masjid tertua di Indonesia.

Bas parkir di luar, tidak muat masuk. Lokasi masjid di hujung kampung

Berdasarkan The Jakarta Post, masjid ini dianggarkan wujud seawal abad ke-15. Namun, ada tokoh dan agamawan yang berpendapat ia dibina pada tahun 1718. Walaupun terdapat perbezaan tarikh, Masjid Asasi tetap menjadi saksi sejarah penyebaran Islam di wilayah Minangkabau.

Masjid ini dibangunkan secara bergotong-royong oleh penduduk setempat, mencerminkan semangat muafakat mereka. Seni ukirannya menyerlah, dengan jendela dan dinding dihiasi motif flora seperti yang biasa dilihat pada rumah gadang. 

Di dalam masjid, terdapat ruang solat, perpustakaan kecil, dan bilik arkib. Salah satu bilik menyimpan peti deposit antik peninggalan Belanda yang misteri—tiada siapa tahu cara membukanya.

Di hadapan tangga masjid, terdapat sebuah kolam kecil dengan airnya mengalir tanpa henti dari Gunung Marapi. Keunikan kolam ini ialah ketiadaan kepala paip, seolah-olah aliran airnya adalah anugerah semula jadi. 

Fenomena ini membuatkan saya tertanya-tanya, mengapa masjid lama ini dibina di lokasi yang memiliki keajaiban alam sebegini? 

Jawapannya terletak pada kepentingan air sebagai nadi kehidupan. Sejarah tamadun dan penempatan manusia sering bermula di kawasan berhampiran sumber air seperti sungai, laut, atau mata air. Pengalaman saya dalam ekspedisi penyelidikan di Pulau Babi Besar dahulu menguatkan hakikat ini—kami mencari bukti penempatan lama melalui punca air tawar.

“Ular! Ular! Ada ular!” Jeritan saya dan ibu memecah suasana. Seekor ular meliuk-liuk di dalam kolam itu, cuba mencari jalan keluar dari kerumunan manusia. Jika ular itu boleh bersuara, barangkali ia juga histeria melihat kami. Detik ini mencuit hati, memberi gambaran ular pun bahagia berendam di situ, tidak hanya manusia. 

Kolam ini bukan sahaja sumber air wuduk tetapi juga menjadi tempat anak-anak kampung bermandi-manda. Suasana riuh mereka bermain air menggambarkan fungsi masjid sebagai pusat komuniti—bukan sekadar ruang ibadat, tetapi juga tempat rekreasi yang mengeratkan hubungan masyarakat.

Dalam perjalanan ke tempat parkir bas, kami bertembung dengan Pak Asrul Effendi, seorang pemandu pelancong dan penyelidik yang sering membawa rombongan Malaysia melawat masjid ini.

Credit photo: Nad/Jejak Buku & Kopi

Pertemuan singkat itu membuka mata saya tentang kepentingan pemuliharaan masjid lama seperti Masjid Asasi. Ia bukan sahaja simbol keagamaan tetapi juga khazanah sejarah yang memelihara warisan Islam dan budaya Nusantara.

Masjid Asasi adalah bukti nyata keindahan perpaduan tradisi, keimanan, dan kehidupan masyarakat setempat—monumen yang terus berdiri megah, menyimpan kisah-kisah yang tidak pernah usang dimakan zaman.

 

Credit photo: Nad/Jejak Buku & Kopi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top