Kedatangan kami disambut alunan merdu biola di kawasan replika Rumah Gadang ini, mencipta nuansa nostalgik.
Pusat Dokumentasi ini antara muzium yang memelihara, mempamerkan, dan menjelaskan kebudayaan Minangkabau kepada pengunjung, menjadikannya destinasi wajib bagi peminat sejarah dan budaya.
Antara koleksi yang ada di sini termasuk buku-buku, majalah, naskhah lama, artifak, foto-foto, dan lukisan yang menceritakan warisan masyarakat Minang dengan begitu mendalam.
Saya tertarik dengan lukisan sketsa kerbau pelbagai tanduk. Fahamlah saya bahawa Minangkabau ini asalnya daripada kisah ‘Menang Kerbau’, sebuah legenda yang menggambarkan kecerdikan masyarakat Minang.
Diceritakan zaman dulu Majapahit hendak menyerang penduduk sini, namun orang Padang yang tidak sukakan pertumpahan darah manusia mencadangkan laga kerbau.
Musuh menyediakan kerbau betina besar, tetapi orang Padang yang licik menggunakan anak kerbau yang baru menyusu, dipakaikan tanduk tajam. Naluri keibuan membuatkan kerbau betina itu ingin menyusu si anak tersebut, tetapi akhirnya perutnya dirodok oleh tanduk palsu yang runcing. Kemenangan ini melahirkan nama ‘Minangkabau’, simbol kebijaksanaan dan strategi orang Minang.
Banyak lagi kisah menarik yang dikongsikan di sini, misalnya:
Kenapa Rumah Gadang itu senget?
Rumah Gadang direka dengan atap berbentuk melengkung dan struktur yang sedikit senget sebagai cara nenek moyang Minangkabau menyesuaikan diri dengan keadaan alam.
- Reka bentuk ini memberikan kelenturan kepada rumah untuk bertahan daripada gempa bumi, yang kerap berlaku di Sumatera Barat.
- Tiang dan struktur rumah dibina dengan teknik pasak, bukan paku, yang membolehkan rumah “bergerak” tanpa mudah roboh ketika gempa.
- Ini mencerminkan kearifan lokal dalam memahami dan belajar daripada alam.
Mengapa ada tiang kucing di tengah rumah?
Tiang tengah yang disebut ‘tiang kucing’ memang wujud di beberapa Rumah Gadang.
- Mitos atau sindiran sosial: Orang Minang terkenal dengan tradisi merantau dan lelaki yang malas bekerja sering diejek. Tiang kucing ini dipercayai menjadi simbolik kepada lelaki yang tinggal di rumah seperti kucing – makan dan tidur sahaja.Kisah ini menjadi peringatan simbolik tentang pentingnya usaha dan tanggungjawab dalam keluarga.
- Praktikal: Tiang tengah juga sebenarnya mempunyai fungsi menyokong struktur rumah supaya lebih kukuh dan tahan lama.
Mengapa hiasan tingkap luar dan dalam lain?
Hiasan tingkap yang cantik diletakkan di bahagian dalam rumah adalah salah satu cara untuk melindungi seni ukiran daripada kerosakan akibat perang, cuaca, atau bencana alam.
- Ukiran kayu yang halus dan berseni memerlukan penjagaan, jadi ia lebih dihargai apabila ditempatkan di bahagian yang kurang terdedah.
- Di luar rumah, tingkap lebih dibiarkan polos atau dihias sederhana sebagai perlindungan.
- Ini mencerminkan nilai estetika dan praktikal masyarakat Minangkabau, yang selalu memadukan seni dengan fungsi.
Penerangan ini dibuat oleh guide di pusat ini, iaitu Ibu Ita (maaf, saya ingat-ingat lupa nama sebetulnya). Saya tidak pasti sama ada Ibu ini sedar atau tidak bahawa dia cukup famous di kaca skrin, kerana wajahnya banyak muncul dalam video travelog YouTube yang saya tonton sebelum datang ke Padang. Penerangannya sangat menarik dan terperinci, membuatkan setiap fakta terasa hidup.
Masa berlari pantas, dan kami digesa untuk mencuba persalinan tradisional Minangkabau dan bergambar. Ibu dan ayah sporting berbusana, kelihatan seperti pengantin lama yang dibarukan- hasil mereka bikin romantis, maka lahirlah saya.
Saya turut mencuba persalinan pakaian tradisional tersebut, walaupun tidak begitu selesa kerana rasa nampak gemuk, kelihatan seperti tomato bergerak dan teletubbies merah bila lalu depan cermin. Mahkotanya juga cukup berat dan mudah terjatuh bila kepala saya tidak duduk diam.
Namun, saya pakai juga kerana pengalaman ini mahal, bukan setiap hari boleh rasa-rasa apatah lagi perlu menyeberang laut untuk sampai ke sini.
Pengalaman di sini tidak sekadar mengisi masa, tetapi memberi saya peluang untuk menghargai nilai seni, budaya, dan keunikan masyarakat Minangkabau yang kaya dengan falsafah dan sejarah. Jika ke Padang, Pusat Dokumentasi Minangkabau adalah tempat yang pasti tidak boleh dilepaskan.