Pernah baca novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (TKVDW)? Jika belum, takpe, boleh dapatkannya di Shopee.
Novel ini mengisahkan Zainuddin yang bangkit daripada kemelaratan hidup dek merana cintanya ditentang keras keluarga Hayati. Hanya kerana perbezaan suku bangsa dan darjat.
Adakah nama watak ‘Zainuddin’ itu Hamka petik daripada nama gurunya Zainuddin Labai? Bagaimana pula dengan sosok Hayati? Persoalan ini terjawab di destinasi yang hendak dituju.
Akhirnya bas tiba di Surau Batipuh, yang dibina sejak tahun 1896. Sekilas pandang, seni bina Surau Batipuh dengan bumbungnya yang melengkung dan berlapis-lapis mengingatkan saya kepada reka bentuk istana di Fire Nation dari siri animasi Avatar: The Last Airbender.
Namun, keunikan surau ini terletak pada gaya tradisionalnya yang memancarkan identiti Minangkabau, dengan bumbung gonjong menyerupai tanduk kerbau.
Berdasarkan pembacaan, masjid adalah salah satu elemen penting untuk mendirikan sebuah permukiman atau nagari di Minangkabau ini. Biasanya, setiap suku yang tinggal dalam nagari memiliki surau masing-masing. Oleh itu, masjid dan surau sering ditemui berdekatan antara satu sama lain. Surau pada umumnya berfungsi sebagai pusat pembelajaran tidak formal.
Kini surau itu dijaga oleh Pak Armi Lestari sebagai tempat pemuliharaan warisan dan hanya menjadi tempat anak-anak mengaji. Manakala untuk bersolat termasuk solat Jumaat, masjid di sebelahnya iaitu Masjid Al-Ula.
Di samping itu, surau ini turut dikunjungi pelancong termasuk dari Malaysia kerana di sinilah lahirnya mahakarya Buya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Antara serpihan ilham novel itu adalah kisah peribadinya sendiri.
Menurut cerita Pak Armi, di surau ini dulu ada seorang gadis pandai mengaji bernama Rashidah, dan Hamka menyimpan perasaan terhadapnya.
Namun harapan itu tidak kesampaian apabila Rashidah dijodohkan dengan orang kaya masa zaman Belanda dulu. Lalu kemungkinan gelora jiwa itu ditumpahkan dalam bentuk tinta menjelma jadi ‘Hayati’.
Tetapi Rashidah tidaklah meninggal dalam kapal karam seperti Hayati, cuma hati Hamka yang tenggelam. Dapat kat penulis lirik arwah Bob Lokman dan band Wings, mungkin dah jadi lagu Taman Rashidah Utama.
Kapal Van Der Wijck yang tenggelam pada 1936 itu memang wujud dalam lipatan sejarah, tetapi watak dan babak yang digambarkan dalam novel dan filem itu hanyalah rencah ajinomoto sebagai penyedap cerita. Macam filem Titanic.
Menurut kata Pak Armi lagi, selalu juga dapat permintaan pengunjung untuk dibawa ke kubur Rashidah yang lokasinya tidak jauh dari surau tersebut. Dulu boleh, kini beliau sudah tidak berapa kuat lagi dan sedang bertongkat.
Betulkah cerita Pak Armi, Tuhan sahaja yang tahu. Antara lontaran dialog fenomena dalam novel dan filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck:
“Demikianlah perempuan. Dia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya walaupun kecil, tetapi dia lupa kekejamannya sendiri pada orang lain padahal begitu besarnya…”
Cuba kalau Zainuddin berada di Terengganu:
“Gitu ar orang puang. Dia ingat nape hok orang wak jahak ke dia je biar pung kecik. Tapi wat dok ingat mende-mende hok dia wat ke orang, kekejamang sendiri besar bapok. Dah mung Azih (watak perampas), rase gane rapah kaseh orang? Sedak ork rampas kaseh orang? Sedak ork? Curi kebahagiaan orang.”
Pengajaran dalam novel ini, tak usah terlalu bergantung harap pada manusia, jadikan kesengsaraan itu sebagai lubuk emas untuk berkarya.
Sebelum berangkat, photo group dulu tanda hadir ✅
Assalamualaikum Zafirah…anda hebat!. Tahniah dan teruskan menulis. Cara ini dpt membantu org yang tidak rajin menulis ( spt saya) dapat mengingti momen2 indah dan menarik di Tanah Minang dan mengenali insan tersohor” HAMKA”
Terima kasih Zafirah.
Waalaikumussalam, wahhh tak sangka cikgu puziah sudi baca.. terima kasih, insya Allah saya teruskan menulis.