Sekiranya anda tanya saya mana tempat best untuk chill dan lepak di Terengganu, saya akan jawab Uptown Kontena @ Dapo Pata di Tok Jembal sebab itu sahaja yang saya tahu (jenis tak keluar rumah).
Tempat ini ‘hidup’ atau lively pada waktu malam. Pada siang hari, ia macam pekan koboi.
Uptown Kontena juga buka ruang kepada sesiapa yang nak bikin art seperti busking, berpuisi, melukis dan sebagainya.
Jam melepasi angka 4 petang. Saya singgah di situ bersama ibu dan adik selepas pergi ke kenduri kahwin di sebuah hotel berdekatan.
Kebanyakan kedai masih belum dibuka, mata saya terarah pada sebuah kafe di hujung lorong; Kafe kek Chocacake. Hah, jumpa pun!
Sewaktu melangkah masuk, aroma kopi dan aneka kek menyentuh organ deria saya. Baca jenis kek dan menu yang tertera membuatkan saya rasa macam duduk dalam novel Jenny Colgan. Di suatu sudut, ada buku-buku!
Kak Dilah dan Kek Red Velvet
Pengasas atau tauke kafe yang masih muda ini merupakan bekas rakan sekerja ibu saya di Institut Teknologi Petronas (INSTEP). Selepas berhenti kerja, beliau yang lebih mesra disapa Kak Dilah kini menumpukan sepenuh masa untuk mengusahakan kafe ini.
Ceritanya, kafe ini baru tiga minggu beroperasi. Kakitangannya pun seakan tak cukup kaki dan tangan bagi melayan pelanggan yang memenuhi ruang kafe kecil comel itu semasa saya sampai. Lepas tu baru boleh bertenang.
Tauke kek ini pergi kursus pengurusan makanan, ambil bahagian dalam mereka konsep hiasan dalaman dan buat sendiri kek-kek tersebut sambil dibantu oleh keluarganya.
Kak Dilah buat kek ini sebenarnya dah lama, sejak bekerja di INSTEP lagi. Tapi masa tu akak ni buat dari rumah dan oven hanya berasap jika ada tempahan sahaja.
Saya merupakan salah seorang peminat kek red velvet air tangannya saat pertama kali ibu bawa balik ke rumah sebab rasa manisnya yang tak over, lemak, gebu, tak kedekut bahan dan krim cheese melimpah-ruah seperti rezekinya.
Selain tahu makan, saya cuba ambil tahu juga kenapa kek ini warna merah?
Dalam satu artikel yang saya baca, kek red velvet jadi merah asalnya bukan sebab pewarna tetapi sebab hasil tindak balas kimia antara koko dan bahan-bahan terkandung seperti asid, serbu penaik dan sebagainya.
Let’s tour
Di tingkat bawah.
Menikmati secawan kopi dan sepotong kek dengan pemandangan begini merupakan nikmat yang tak dapat didustakan. Alhamdulillah.
Saya cuba mango cheesecake. Rasanya bukan sahaja cair di mulut tetapi juga di hati.
Kalau anda bukan jenis sweet tooth, dan nak cari yang savoury, macaroni tuna ni pun macam best juga.
Jom naik ke atas pula.
Saat membuang pandang ke sekeliling, saya terkenang memori bersama kawan-kawan semasa zaman belajar dulu di mana kami pernah menyusup masuk ke kontena-kontena kosong itu untuk piknik, birthday party, bersihkan pantai dan sebagainya sebelum semua bawa haluan masing-masing.
Tak ramai tahu tentang tempat itu dulu sehinggalah ia menjadi deretan kafe hipster yang menarik orang ramai.
My 2 Sen
Secara keseluruhannya, saya terpikat dengan simplicity konsep kafe ini dan hidangannya pun 4.99 bintang dengan bahan-bahan premium.
Cuma tak sedap tengok ada orang tak habis makan scones dan kek yang berharga belasan ringgit itu, air Dalgona pun sepertinya baru suku diminum sebelum ditinggalkan begitu sahaja. Jangan membazir dan bermewah begitu jika tak mahu setan mengaku saudara.
Bagaimanapun saya belajar sesuatu juga daripada Kak Dilah dan kafenya ini di mana selagi hayat masih ada, kita tak terlambat untuk mulakan sesuatu.
Kata Kak Dilah, bangunkan kafe ini memang penat tetapi membahagiakan. Tidak perlu lagi sakit kepala dengan dunia korporat.
Alangkah bahagianya bila dapat buat sesuatu yang kita passionate sangat kan, lebih-lebih lagi bila mampu menjana pendapatan daripadanya.
Apa pun, saya doakan usaha Kak Dilah diberkati dan membuahkan kejayaan semanis kek red velvet.
Sekiranya anda nak baca nukilan saya lagi, boleh subscribe channel zafirahzapri.com di Telegram atau klik gambar di bawah. Saya akan update artikel terbaru bersama perkongsian pengalaman, perspektif dan pendapat saya di situ.
Topik; lifestyle, business, kerjaya, perhubungan, makna kehidupan dan apa-apa topik berkaitan digital content & marketing.