Kata Andrea Hirata, “Perkara yang paling absurd di muka bumi ini ialah cinta.”
Itulah antara quote beliau sewaktu saya menyelak buku Edensor.
Sewaktu pengembaraannya ke Itali, sang penulis melihat cinta ada di mana-mana. Para pemuda tidak segan silu mensyairkan ayat-ayat cinta kepada si gadis meskipun berada di tengah pasar ikan.
Hati perempuan mana yang tak cair seperti gelato jika lelaki-lelakinya dari penjual ikan, mekanik, malah penyeluk saku dikatakan tampannya ya ampun dan bermulut manis.
Apabila sebut tentang cinta, pasti ramai yang akan bermadah pujangga seperti Shakespeare.
Mungkin atas dasar menyerap keghairahan cinta orang Itali itu, Shakespeare datang jauh-jauh dari England, menyewa sebuah bilik di pekan Verona itu dan melahirkan sebuah riwayat cinta terbesar dalam sejarah manusia iaitu:
Romeo dan Juliet.
Verona, Itali
Pada zaman dahulu, tinggal dua buah keluarga bangsawan di Verona iaitu Capulets dan Montagues.
Terdapat perselisihan dan dendam lama yang telah menyemai kebencian antara dua keluarga kaya ini, sampai ke tahap pekerja-pekerja di rumah Montague tak boleh bertemu dengan orang suruhan Capulet dan begitulah sebaliknya.
Malah sekiranya dua puak yang bagaikan anjing dengan kucing ini bertentang mata, bermulalah pertikaman lidah yang ada kalanya berakhir dengan keributan sehingga mengganggu ketenteraman jalan-jalan di Verona.
Romeo Langgar Pantang
Pada suatu malam, Lord Capulet mendadakan jamuan dan acara tari-menari. Semua orang kenamaan dijemput hadir kecuali siapa lagi jika bukan pihak Montague.
Dalam ramai-ramai itu, terselit seseorang yang tak diundang iaitu Romeo, anak lelaki Lord Montague. Pemuda itu curi-curi masuk untuk mencuri hati Rosaline, bunga tercantik di Verona yang dikatakan turut berada di situ.
Walaupun Romeo bertopeng seperti tetamu lain, suaranya tetap dapat dicam oleh Tybalt. Anak saudara Lord Capulet yang panas baran itu naik berang dan mahu menyiat-nyiat Romeo tetapi segera ditegah oleh pakciknya kerana menghormati tetamu dan enggan majlis orang bersuka ria ini bertukar menjadi majlis pengebumian.
Lagipun bisik-bisik tentang Romeo, seorang lelaki budiman dan terpelajar yang dipertuturkan oleh kebanyakan penduduk Verona ini turut sampai ke cuping telinga Lord Capulet.
Tybalt terpaksa menahan api amarah yang meluap-luap, namun dalam diam dia bersumpah yang si Montague tak tahu malu ini akan terima padahnya akibat menceroboh!
Bertemu Juliet
Dalam ramai-ramai orang yang turun ke lantai dansa, mata Romeo terpaku serentak hatinya dipanah cupid pada seorang gadis yang berdiri di suatu sudut.
Romeo menghulurkan tangan kepada gadis itu untuk mengajaknya menari namun tak sempat bersambut.
“Juliet!” Gadis itu terpaksa meminta diri saat dipanggil ibunya.
Romeo tertanya-tanya siapakah sang perawan rupawan bernama Juliet itu? Oh, anak perempuan dan pewaris Lord Capulet rupanya.
‘Habislah kau nanti sebab cuba nak memetik bunga ros berduri di taman larangan.’ kata hati Romeo cuba memberi amaran kepada tuan empunya badan yang ralit memandang si gadis itu dari jauh.
Dan tanpa pemilik nama Juliet itu sedari, hati seorang pemuda berjaya dijeratnya, musuh tradisi keluarganya pula itu.
Jarum jam di menara berdenting tengah malam. Romeo telah beredar namun ada sesuatu yang dia tertinggal, iaitu sekeping hatinya di tempat itu.
Juliet oh Juliet
Bayangan wajah Juliet mencuri lena Romeo. Mungkin sukar untuknya melelapkan mata apabila lihat tingkap nampak Juliet, pandang siling nampak Juliet dan tengok tiang pun muncul Juliet.
Juliet ada di mana-mana, nama itu bergema dalam fikirannya.
Cuma ada satu sahaja ubatnya. Lantas Romeo meredah kegelapan malam, memanjat tembok belakang rumah Juliet. Setelah berjaya sampai di perkarangan rumah itu, kelihatan Juliet sedang menopang dagu di balkoni. Entah apa yang dimenungkan gadis itu.
Sempat lagi Romeo berangan kalaulah sarung tangan yang menyentuh pipi Juliet itu adalah dirinya.
“Pssst, Juliet, Juliet! Pandanglah sini!”
Suara separa berbisik itu berjaya mengusik lamunan Juliet. Bulat matanya melihat Romeo yang berdiri di sebalik belukar bawah balkoni mendongak memandangnya.
“Juliet, saya Romeo Montague. Jangan takut, saya cuma nak tanya, apa berlaku andai rembulan tidak mampu lagi bercahaya?”
“Jadi gelap gelita lah.” balas Juliet jengkel, sambil kejap-kejap perhatikan sekeliling sebab takut ada orang nampak. Si Montague ini memang sengaja datang serah leher untuk disembelih! Mengapa pula lelaki ini datang semata-semata untuk tanya soalan ujian peringkat taska?
“Begitulah hari-hari saya tanpa awak.”
Di situlah segalanya bermula.
Biarlah Rahsia
“Lawrence, aku nak kahwin. Tolong satukan kami?” pinta Romeo pada sahabatnya yang merupakan seorang biarawan itu.
“Dengan Rosaline?” tanya Lawrence kembali.
“Bukan, dengan cinta baru aku, Juliet Capulet.”
“Eh, bukankah selama ini engkau gila bayang dengan Rosaline?”
“Kawan, dengar sini. Cinta laki-laki muda ini bukan terletak pada hati, tetapi pada mata.” balas Romeo pada soalan kawannya. (Mungkin ini sebabnya mengapa kasanova kaki mengayat perempuan turut digelar Mat Romeo.)
Turut disertakan alasan bahawa Rosaline jual mahal sangat, langsung tak mahu memberi hatinya sebarang diskaun walaupun sudah puas dirayu. Tidak seperti Juliet yang mahu dicintai dan mencintainya.
Romeo turut menyuarakan isi hatinya untuk sehidup semati dengan Juliet walau apa pun taruhannya. Diharap juga penyatuan ini bakal meruntuhkan tembok keluarga Montague dan Capulet. Sebelum masa itu tiba, biarlah ia kekal rahsia dahulu.
Perkahwinan Rahsia
Di bawah sinar bulan purnama, pasangan itu pun berkahwin di sebuah taman dengan hanya bersaksikan Lawrence, kawan-kawan Romeo dan pembantu Juliet yang setia.
Juliet bersetuju untuk kata “Saya sudi” walaupun mungkin terpaksa bernasi lemak buah bidara dengan keluarganya, ataupun disumpah menjadi spaghetti Bolognese oleh ibu bapanya.
Malah membuang nama Capulet yang terhormat itu pun dia sanggup! Sekiranya rahsia mereka berdua terbongkar suatu hari nanti. Tetapi betul ke dia berani kita tengoklah nanti.
Semuanya kerana terbuai dengan kalimah cinta yang dilafazkan Romeo Montague dalam setiap janji temu sulit mereka.
Usai upacara itu, Juliet berdebar-debar menanti kehadiran Romeo yang berjanji untuk datang menemuinya pada malam itu…
Musibat
Sebelum fajar menyingsing, Romeo bersiap untuk pergi dari bilik Juliet secara diam-diam. Enggan mengejutkan pengantinnya yang masih nyenyak tidur.
Pada tengah hari itu, kesialan menimpa rakan-rakan Romeo iaitu Benvolio dan Mercutio apabila mereka bertembung dengan Tybalt.
Tybalt yang ada urusan tak beres dengan Romeo sejak jamuan Lord Capulet telah cari fasal dengan mereka dan memburuk-burukkan Romeo. Mercutio, yang sama baran dengan Tybalt itu turut sama naik dalam pertengkaran mulut itu.
Kebetulan Romeo lalu di jalan itu. Lantas fokus Tybalt terus beralih untuk menyembur Romeo pula.
Seboleh mungkin Romeo cuba elak daripada berkelahi dengan Tybalt, saudara terdekat wanita yang dicintainya itu dan dia cuba berdiplomasi.
Tetapi Tybalt tak endah sebab dia memang benci lumat segala-galanya tentang keluarga Montague itu.
Mercutio tahu motif Romeo yang mahu selesaikan konflik itu dengan aman, namun darahnya tetap panas menggelegak apabila mendengar mulut puaka Tybalt itu berterusan mencaci sahabatnya.
Oleh itu, Mercutio mencelah dengan kata-kata sindiran di mana provokasi itu membawa kepada saling menghunus senjata sebelum nyawa Mercutio habis di tangan Tybalt.
‘Mercutio!’ Darah sahabatnya yang tertumpah itu telah membangkitkan semangat singa jantan dalam diri Romeo untuk mengamuk, tidak mampu membendung kesabarannya lagi sepantas kilat dia menerkam ke arah Tybalt dan menyerangnya bertubi-tubi.
Akhirnya Tybalt tewas dan terbunuh.
Bakal Bersambung…