Alhamdulillah, kami survive trip ke Padang selama 4 hari 3 malam.
Dalam keseronokan melihat tempat orang itu, roda kehidupan berpusing ke 4 hari 3 malam di hospital apabila pulang ke Terengganu.
Dugaan ini bermula apabila ibu batuk berterusan dan sakit dada. Setelah pergi 2 buah klinik, doktor buat surat untuk masuk hospital. Ibu didiagnos Influenza B. Sakit dada sebab batuk kuat sangat, diaphragm paru-paru terpaksa kerja keras.
Pengajarannya, apabila bersesak dengan orang ramai di pintu antarabangsa seperti KLIA2, pakailah topeng pelitup muka kerana segala jenis kuman virus ikut naik kapal terbang travel dari segenap negara tanpa passport.
Tambahan pula, ibu menghidap diabetes. Bimbang berlaku sebarang komplikasi, jadi masuk wad lah supaya berada dalam pemantauan doktor dan jururawat.
Berbekalkan insurans, kami terus menuju ke salah sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu. Limpahan pesakit turut berlaku di sini sehingga kami perlu tunggu berjam-jam untuk dapatkan bilik wad kosong.
Selama 4 hari 3 malam, saya teman ibu sementara ahli-ahli keluarga lain urus Bayu dan rumah memandangkan kerja saya fleksibel dan boleh dibuat secara online.
Alhamdulillah, dapat single room lengkap dengan sofa dan bilik air peribadi. Cuma sedikit tiada privasi dan perlu sentiasa bertudung kerana misi, doktor dan pekerja am sering terjah masuk, termasuk pada pukul 4.00 pagi. Apa pun saya tabik spring toing toing dengan dedikasi mereka yang bekerja tanpa mengira jam.
Setiap kali melawat ibu, doktor suka bagi nasihat termasuk kepada saya yang berketurunan diabetic. Kena jaga-jaga seawal sekarang.
“Perkara pertama nak kena ubah bila jatuh sakit adalah mindset kita, jangan stress sangat. Kemudian ubah lifestyle- jaga makan, bersenam dan jaga juga kesihatan mental.
“Kalau bab makan itu, kurangkan karbohidrat banyakkan makan sayur dan protein yang lebih tahan kenyang. Biasanya saya bantai 4 biji telur separuh masak setiap pagi, atau salad dengan kopi. Cukuplah.
Air masak kena minum sekurangnya 2 litre setiap hari, baru oksigen sampai ke otak.”
“Kena aktif juga bergerak, jalan keliling kampung ke… Biar kena cahaya matahari. Satu lagi, berjalan dalam kolam renang pun okay juga.”
“Untuk tajamkan fikiran dan elak nyanyuk pula, cuba belajar bahasa asing kerana terbukti berkesan mengaktifkan otak. Belajar bahasa Arab ke, French ke.”
Tips-tips yang biasa kita dengar kan? Tetapi sejauh mana pelaksanaannya, tepuk dahi tanya diri sendiri.
Saranan paling mahal sekali bila doktor cadangkan pengambilan kaviar iaitu telur ikan sturgeon yang harganya RM 2,000 secupak, dan khasiat omeganya 60x ganda lebih baik daripada salmon. Boleh spread atas biskut.
Walaupun RM 2K itu bukan mudah-mudah ditabur atas biskut bersapu kaviar bagi kami, fun fact tentang makanan mewah ini tetap menarik untuk diketahui.
Sepanjang berada di hospital- tempat antara hidup dan mati ini banyak memberi ruang kepada saya untuk refleksi. Blog yang sudah lama tidak bernyawa, saya menghidupkannya semula.
Dengar berita nahas kapal terbang dan penyakit kronik mengingatkan saya betapa rapuh dan singkatnya hidup ini.
Sedar-sedar sahaja kalendar sudah bertukar ganti. Salah satu penyesalan terbesar saya adalah membiarkan tahun 2022-2024 bergerak laju, tanpa mendokumentasi segala momen, pengalaman dan pengetahuan best yang diraih. Setiap pengalaman perlu direnung, bukan setakat dilalui sahaja.
Bila bercakap tentang kaya, ramai yang bersembang tentang berjuta-juta. Tetapi aset yang jauh lebih berharga daripada pencapaian material adalah kesihatan. Kalau tak sihat, bagaimana nak bekerja dan menikmati kehidupan.
Melihatkan bil hospital dan kebullshitan insurans (duit orang nak, tapi serve klien liat), nilai kesihatan memang mahal.
Daripada bermalam di wad hospital itu, baik bermalam di Bayu Beach Penarek– sewa satu kawasan untuk family day atau booking pakej daytrip ke Redang dengan saya.
Sempat jugalah promote Bayu (dah memang kerja saya) kepada doktor itu sekiranya team hospital nak pergi retreat di Bayu. Setelah gigih sembuhkan orang, apa kata mereka pula pergi healing.
Alhamdulillah, ibu discharge dan boleh pulang hari ini, serta kembali sihat dan mulut berkicau (membebel) seperti sedia kala.
Pergilah travel ceruk mana pun, rumahku tetap syurgaku, lebih-lebih lagi setelah sakit belakang tidur atas sofa keras hospital itu. Cuma, saya mula rasa tak sedap badan. Adakah saya next target ‘makhluk halus bangsa virus’ ini setelah berjaya diusir daripada ibu?