Petualangan Alam Di Lembah Anai

Setelah mendarat di Bandara Minangkabau dan bersarapan, bas mini yang mengangkut kami menuju ke Lembah Anai, sebuah kawasan tebing curam yang membentang di sepanjang jalan utama antara Kota Padang dengan Bukittinggi.

Dari tingkap bas, ini pemandangan yang saya lihat sepanjang jalan

Suasana jalan ke Lembah Anai seperti di pedalaman Pahang cuma jalannya lebih curam dan ngeri.

Peringatan kreatif supaya berhati-hati

Sepanjang jalan, kiri kanan ada anak sungai berbatu kecil yang menggamit pengunjung untuk terjun mandi. Ada puing-puing runtuhan taman tema di tepi sungai akibat dirodok banjir, memberikan kesan yang melankolik, seolah-olah alam sedang perlahan-lahan menelan kembali buatan manusia.

Berdasarkan pembacaan, sungai ini berhulu di Gunung Singgalang

Kami singgah di air terjun yang terletak betul-betul di tepi jalan raya untuk berfoto, buat modal post story dan status medsos. Di mana bumi berpijak, di situ kita storykan. 

Credit photo: Nad/Jejak Buku & Kopi
Instagram vs Realiti

Dengan bunyi deru air terjun yang menggema, lokasi ini terasa seperti soundtrack sempurna untuk sebuah petualangan alam. Menurut Google, ada juga aktiviti waterfall trekking, meneroka 6 air terjun yang tersembunyi. 

Jambatan dan landasan keretapi terbiar berhampiran air terjun ini menambahkan lagi elemen rustic, seperti babak dalam filem lama yang tertinggal di relung masa. Bagi yang pandai bermain dengan lensa kamera, tempat ini boleh jadi syurga kecil untuk menangkap imej yang penuh cerita.

Sempat ternampak momen seorang wanita tempatan jemur kain di landasan keretapi

Sebelum naik bas, ibu beli rempeyek yang dikatakan lebih murah daripada di Malaysia dan pass-pass ke kerusi depan untuk berkongsi rezeki ini dengan jemaah lain.

Disebabkan tak pernah tengok, ini snek yang menarik perhatian saya kerana di tengahnya ada ikan mata terbeliak, mungkin terkejut dan tak sangka jadi kerepek selepas mati. 

Saya google, namanya adalah peyek ikan asin atau Rakik Maco, sejenis snek khas Padang. Di Shopee pun ada kalau cari, dijual oleh seller dari Indonesia. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top