FashionValet tutup?
Boleh dikatakan setiap tahun FashionValet (FV) dan nama pengasasnya mesti dapat spotlight atau viral.
Kali ini sekali lagi netizen berkicau dengan berita tergempar penutupan FashionValet. Pelbagai andaian dan pendapat dilontarkan tetapi kebanyakannya ada unsur maki, bermain dengan game persepsi dan belum tentu sahih.
Kadang kita ingat kita ni betul, tahu semua benda, ikut logic sendiri padahal setiap cerita ada two sides of a coin. Sesetengah perkara lebih baik tak payah tahu semua sebab Allah nak pelihara kita daripada konflik yang tak perlu.
Penulisan ini juga bukanlah bertujuan untuk menghentam atau menyokong (atau bak kata slanga zaman sekarang, ‘menjilat’) mana-mana pihak. Cuma ada pengajaran tentang ragam masyarakat, realiti bisnes dan kehidupan yang saya kutip dan mahu pahatkan di sini sebagai bacaan akan datang.
Penutupan FashionValet
Bila ditelusuri , jenama ecommerce fashion terkenal ini ditubuhkan oleh Fadza (F) dan Vivy (V). FashionValet asalnya adalah platform untuk memasarkan produk pereka fesyen tempatan.
Dipendekkan cerita, sejarah awal penubuhan platform ini anda boleh baca kat NST, manakala cara pasangan ini pitching idea mereka kepada para pelabur pula boleh tengok kat YouTube.
Marketing FV ini amat padu sampai saya yang tak minat fesyen atau follow media sosial Vivy pun tahu tentang brand tersebut. Namun saya suka juga baca artikel tentang perjalanan bisnes mereka. Selain FashionValet, Vivy tersebut turut membina jenama fesyen sendiri iaitu dUCk dan Lilit.
Setahu saya, Vivy mempunyai jutaan followers dan turut memaparkan gaya hidupnya. Akaun Instagramnya pun sudah seperti wardrobe peribadinya. Mungkin sebab itulah produk terbarunya laris setiap kali dilancarkan kerana ramai terpesona dengan gayanya berfesyen. Dari seorang fashion blogger ke empayar platfrom digital fesyen.
Baca lagi: Blog Masih Relevan? 3 Sebab Kenapa Blog Penting Untuk Bisnes Anda
Baca lagi: Hyperbeast: Dari Blog Ke Empayar Platform Digital Fesyen
Walaupun terpalit dengan pelbagai kontroversi, orang tetap beli produknya terutama kaum wanita walaupun produknya mahal.Tidak sedikit juga orang menghentam jenama dan dirinya, kalau tersalah cakap sikit memang habis. Itu lumrah bila jadi figura awam dan jadi sorotan mata netizen.
Dalam satu temubual bersama Says, Vivy kata pihaknya menutup platform tersebut untuk fokus dUCk dan LILIT. Syarikatnya masih beroperasi.
Harapan Yang Tidak Realistik
Bisnes online fashion FV ini sering dijadikan ‘case study’ atau topik perbincangan yang membawa kepada perdebatan panas antara pengulas bisnes di media sosial. Seriau jugalah bila tengok tauke, startup founder, pakar IT, pakar ekonomi, jaguh keyboard dan juga jutawan ni berbalah dan bersembang tentang bisnes juta-juta.
Secara tak langsung dapat tahu sikit tentang corporate financing. Bila sesuatu bisnes ini nampak besar, makin besar juga keraknya. Untuk untung juta-juta, banyak juga modal duit yang kena sanggup ‘hangus’.
Kebanyakan orang nak buat bisnes atau kaya mungkin sebab suapan content media sosial daripada personaliti yang mereka follow. Bila dah selalu tengok, akan timbul rasa nak jadi macam dia atau terinspirasi.
Tidak salah pun mengangkat seseorang sebagai inspirasi cuma saya perhatikan ramai yang mahu tahu tentang superficial things atau gaya hidup idola mereka berbanding hal-hal teknikal yang dibuatnya. Tak ramai rasanya yang sanggup tempuhi sepak terajang realiti dunia bisnes.
Berikutan viral hal FV, seorang konsultan bisnes yang dikenali sebagai @bukhariramli bagi sedas tweets hentakan realiti.
Daripada tweet tu, saya belajar yang bisnes ni bukan tentang nampak glamour dalam media sosial, tunjuk handbag mahal, kereta mewah atau ramai followers. Perkara lebih penting daripada itu adalah sustainable, bagi real value pada masyarakat dan kesejahteraan cashflow kita.
“Kalau aku kerja keras, mesti boleh jadi macam dia juga.”
Kerja keras memang tidak pernah mengkhianati. Cuma realitinya nak selevel FV dalam masa singkat perlukan lebih daripada kerja keras iaitu good resources, well connections, tuah rezeki dan modal pun besar. Belum lagi kesanggupan untuk berdepan dengan pelbagai drama manusia.
Lagipun umum tahu latar belakang keluarga Vivy yang berada. Jika bisnes dia rebah pun, dia ada safety net yang boleh backup dia seperti kenalan, syarikat papa, simpanan atau aset, pendidikan dan her brain yang bergeliga. Adakah nasib kita sama macam dia?
Kalau baca kisah tauke Ramly Burger dan Tan Sri Syed Mokhtar, perjalanan yang mereka lalui untuk sampai ke tahap sekarang pun panjang, berliku-liku dan bukan sekelip mata. Ramai juga orang yang kaya dan bisnesnya maju dalam dunia nyata walaupun senyap dalam media sosial dan tidak dikenali ramai.
Biarlah nampak biasa-biasa, yang penting duit renyai-renyai masuk ke dalam akaun bank dengan cara betul dan sampai satu tahap, pelanggan atau klien yang cari kita sebab value yang kita tawarkan.