Dalam ramai-ramai orang yang hadir dan singgah dalam hidup ni, seseorang individu yang aneh atau unik biasanya terpahat dalam memori kita.
Kita cenderung untuk remember them. Begitulah kunjungan salah seorang tetamu Bayu Beach Penarek Resort (tempat kerja baru aku) yang bagi aku memorable.
Siapakah Dia?
Namanya Zahariz Khuzaimah (atau aku panggil Hariz je), mungkin tidak asing bagi kaki travel dan kaki YouTube.
Cuma pada mulanya aku tak kenal empunya nama ini, mungkin sebab aku banyak layan video kucing gemuk, muzik dan dokumentari pasal Korea & Jepun.
Bila tahu Hariz bakal vlogging di Bayu dan sekitar Penarik (sekaligus tolong promote sekali tempat ni), aku pun buat homework sikit tentang travel YouTuber ini.
Bukan calang-calang orang sebab media pernah tulis ceritanya berbasikal menjelajah dunia. Malah dia ada rancangan travelog sendiri yang disiarkan di TV.
Pengalaman Rare
Kedatangan Hariz dan basikalnya disambut oleh Encik Ziyad, pengurus resort. Dia ditempatkan di unit Bayu Mendonan 3 (single bed).
Harapnya bilik tersebut serasilah dengan Hariz yang berjiwa nomad sebab Mendonan itu sendiri bermaksud ‘perantau’. Dinamakan sempena judul lagu ‘Canggung Mendonan’ dendangan M. Nasir.
Aku tak lepaskan masa untuk berborak, interview (atau interrogates dia?) untuk korek kisah-kisah pengembaraannya di pelbagai tempat rare termasuk Pulau Komodo, Kyrgyzstan dan Guilin yang landskapnya seolah terkeluar dari Chinese painting pun dia dah sampai.
Paling epik bila Hariz cerita riwayat hidupnya hampir tamat seperti nyaris mati beku dan hampir dibaham serigala lapar. Dan tidur di bawah tengkorak di rumah panjang Sarawak.
Si tukang cerita ini ramah, mesra alam dan buat macam member dah kenal 10 tahun bila bersembang dengan dia.
I cherish these moments sebab orang lain mungkin dengar ceritanya dari skrin YouTube atau kursus berbayar manakala aku direzekikan dengar daripada mulutnya sendiri.
Bumi Bertuah
Dalam artikel lepas, aku ada tulis tentang Shah yang mengelilingi glob dengan menulis.
Manakala Hariz pula membawa audiens mengembara menerusi lensa kameranya.
Baru-baru ini dia post video perjalanannya di Kuala Terengganu (KT) manakala video Penarek pula masih dalam proses suntingan saat artikel ni ditulis.
Terengganu nampak cantik sangat di dalam video itu.
Pernah tak masa kecil-kecil dulu lukis rumah kayu di tepi pantai siap ada pokok kelapa dan perahu? Haa, suasana ini sesuai untuk orang yang mahu calm & quiet life, serta suka tengok laut.
Dalam menatap biru laut, jingga dan ungu mewarnai langit senja Terengganu, mungkin Hariz turut nampak the sky is the limit.
Rezeki Ada Di Mana-mana
Menerusi video Hariz dan bertemu 4 mata ini juga, serba sedikit aku dapat tahu macam mana gerak kerja seorang travel content creator terutamanya bab sponsorship.
Jadi musafir ini murah rezeki juga ya misalnya orang belanja makan, berkongsi cerita, bagi duit malah peluang buat duit!
Semasa di Setiu, Hariz diberitahu tentang potensi bisnes vacation rental seperti homestay, mini resort dan B&B. Tambah lagi sejak ada apps macam Airbnb, Booking.com dan Tripadvisor.
Boleh buat juga walaupun tiada property atau real estate sendiri, misalnya tawarkan servis hotel management atau pajak dengan landlord. Bukan semua owners ada masa dan skil untuk uruskan premis.
Insya-Allah lain kalilah aku kupas pasal bisnes Airbnb ni sebab panjang juga ceritanya.
Tetamu Unik
Setiap tetamu yang datang menginap di Bayu Beach Penarek Resort ni ada cerita tersendiri, cuma sama ada terpendam atau terbongkar.
Salah satu cara untuk mencungkil cerita menarik daripada mereka adalah dengan berbual.
Kadang aku suka dengar cerita-cerita daripada guests yang ramah dan kaya dengan pengalaman. Antaranya:
- Ada calon PhD yang buat kajian tentang bangunan bersejarah di Terrapurri (resort tu mahal jadi dia pilih stay di Bayu yang lebih mesra bajet)
- Ada pengusaha restoran nasi daging kongsi perjalanan jatuh bangun bisnesnya
- Ada customer dari KL yang boleh dikatakan setiap minggu dan bulan drive datang. Dah macam balik kampung pula hehe. Orangnya selalu duduk termenung di tepi pantai. Rupanya ada kisah sedih tersendiri dan mungkin mahu melemparnya jauh-jauh biar dihanyutkan ombak.
Berbalik ke cerita Zahariz tadi, jejak yang ditinggalkannya turut diingati sebab caranya sampai ke resort agak luar normal.
Selalunya guests yang datang ke resort naik kereta atau motor manakala sosok tubuh ini pula mengayuh basikal sejauh ratusan km, setia ditemani peralatan kameranya
Aku suka jumpa orang rare-rare ni. Lain kali kalau ada guest yang singgah dan mendarat di pantai dekat Bayu guna kapal layar macam sailor Dato’ Azhar Mansor, aku up story pasal dia pula.