Pengalaman Suka Duka Mengusahakan Campsite Di Dusun (Bab 1)

Saya tak pasti roh saya merentas masa ke berapa ratus tahun hadapan melalui alam mimpi. Gunung Tebu bukan lagi sebuah hutan pegunungan, tetapi berubah menjadi metropolis di awan—penuh dengan hotel, apartment, dan kondominium mewah. Seolah-olah Genting Highland berpindah ke situ. 

Mungkin bayangan itu terhasil daripada minda separa sedar saya. Lagi pun kadang saya tertidur pakai cermin mata, patutlah mimpi terang macam skrin HD.

Namun, bayangan itu bukan sekadar imaginasi kosong. Jika bukan kerana ibu, mungkin mimpi itu sudah lama menjadi realiti. Beliau membeli tanah dusun berhampiran kaki gunung daripada adik-beradiknya, enggan membiarkan tanah bersejarah itu jatuh ke tangan orang asing. Jika tidak, silap-silap, naik kondominium sebiji situ.

Akhirnya sepucuk dokumen—geran tanah dusun ini sah menjadi miliknya. 

 “Apa kita nak buat dengan dusun ni? Kita akan buat projek ecotourism.” kata ibu yang sendiri tanya sendiri jawab.

Dari persoalan kecil itu, bermulalah perjalanan suka duka kami mengusahakan sebuah campsite bernama: Bayu Sekebun Pohon campsite.

Tapak perkhemahan

Dusun ini dijadikan campsite bukan sekadar untuk menjana pendapatan, tetapi kerana kami mahu suasananya sentiasa hidup—bukan dibiarkan sunyi, terbiar, dan akhirnya ditelan belantara. Sebelum ini, tanah seluas 8 ekar ini hanya dikunjungi setahun sekali, waktu musim durian. Seperti yang diceritakan dalam artikel sebelum ini

Namun, mengekalkan dusun ini bukan tugas mudah. Kos upah menebas dan memesin rumput sahaja sudah cukup mencekik akaun bank, belum lagi dikira kos pembangunan dan pembinaan tempat ini. Walhal, pulangan pelaburan masih samar. Kata orang, tiga tahun pertama dalam bisnes adalah tahun puaka—ujian terbesar yang menentukan jatuh bangunnya sesuatu usaha. 

Duit modal terbang mengalir macam air

Tetapi ibu dan ayah tidak goyah. Mereka tetap cekal untuk berbakti kepada tanah pusaka ini. Campsite ini juga lahir daripada passion ayah yang gemar berkebun. Ini tempat kegemarannya di planet ini—selepas bumi Haramain.

Pernah suatu ketika, ketika bercuti di Tasik Kenyir, hanya jasad ayah yang berada di dalam rumah bot. Hakikatnya, hatinya melayang jauh,teringatkan dusun ini.

Ambil Masa Untuk Adaptasi

Dari moyang, atuk nenek, sampai ke ayah saya—hampir semuanya dikurniakan green fingers. Apa sahaja yang mereka tanam, tumbuh subur. Tapi sayangnya, bakat dan kemahuan itu tak menurun kepada generasi saya. Pegang cangkul pun kekok, walaupun darah petani mengalir dalam badan.

Satu-satunya bunga yang kami reti tanam hanyalah bunga plastik—mekar selamanya tanpa perlu siram atau baja. 

Geng cucu cicit, termasuk saya dan adik-adik, jarang sekali pijak tanah, apatah lagi keluar rumah. Hampir semuanya lebih suka bergelumang dengan buku dan gajet. Baru darjah 4, dah rabun, kebanyakannya dah kena pakai spek mata.

Kesenangan hidup yang diwarisi turun-temurun kini bertukar menjadi cabaran dalam alam dewasa. Kami tak cukup lasak. Andai sejarah perang berulang dan bekalan makanan terputus, mampukah kami bertahan? Sedangkan ubi kentang dan ubi kayu pun tak reti beza, apatah lagi bercucuk tanam untuk kelangsungan hidup.

Semasa zaman belajar, tangan saya lincah menari di atas buku dengan pen dan highlighter warna-warni. Kini, saya kena pegang penyapu, mop lantai, dan berus jamban untuk cuci tandas di campsite. Mungkin selepas ini, saya cuba mesin rumput pula.

Kadang-kadang, semasa tengah sental jamban, terngiang-ngiang suara bekas pensyarah saya yang mengajar subjek management semasa buat master dulu.

“Nak naik tangga management, kena mula dari bawah dan tahu semua benda, kalau tak nak kena ‘kencing’ dengan anak buah.”

“Sebab itulah saya jadi lecturer, bukan manager,” katanya lagi.

Saya tengok sendiri, usahawan yang berjaya semuanya hands-on. Contohnya, dalam satu perkongsian John Lemon tentang agrobisnes, dia sendiri seluk jubor kambing yang keguguran untuk keluarkan janin yang hancur tau.

Memang awal-awal ni kami kena buat sendiri. Tak mampu ambil ramai pekerja, cukup seorang dua yang betul-betul lasak dan boleh buat kerja. Setiap kali penat, saya ingat satu benda—ini bukan sekadar campsite, ini warisan yang perlu dijaga.

Bakal bersambung…

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top