Pohon kenanga di halaman rumah berdiri bisu, menyaksikan pemergian nenek ke pangkuan Ilahi. Dahannya melambai perlahan, seakan-akan mengucapkan selamat jalan. Kelopak kuning luruh satu persatu, menabur wangian yang pernah menjadi kegemarannya.
Dulu, bunga inilah yang menghiasi sanggulnya dan harumannya melekat pada telekung yang selalu dipakainya untuk bersolat.

Pokok kenanga ini bukan sekadar tanaman biasa. Ia berasal dari tanah dusun peninggalan nenek, berhampiran kaki Gunung Tebu—sebidang tanah yang menyimpan cerita berzaman. Dahulu, tempat ini menjadi medan keringat orang tua dulu-dulu. Kini, ia menjadi tanda tanya bagi kami yang mewarisinya
Tentang Nenek
Mak Aji Limah—namanya semerbak seperti kenanga, dikenang kerana hartanya, diingati kerana budinya.
Sekilas pandang, orangnya biasa-biasa. Tapi di bawah bantalnya? Berkepuk-kepuk wang ringgit. Resipi kekayaannya? Bersedekah tanpa berkira, bekerja tanpa jemu, menabung tanpa henti. Beliau juga terlalu berjimat—sampai saya rasa kipas dalam biliknya berbunyi kruk krak krik, macam berhantu. Tak pernah tukar sejak era The Beatles agaknya.
Sejujurnya, saya tak pernah rapat dengan arwah nenek. Malah, saya gerun kerana beliau seorang yang garang, vokal, dan membebel tanpa henti. Namun nenek ini bijaksana sini situ. Sekiranya disekolahkan tinggi-tinggi, saya tidak terkejut seandainya beliau jadi peguam atau Perdana Menteri wanita pertama.
Kemahirannya dalam mengumpul duit dan tanah ini turut diwarisi oleh ibu saya. Sepatutnya masa kecil-kecil dulu saya main Jutaria atau Monopoly, bukannya barbie dolls supaya pandai main hartanah juga seperti mereka.
Ibu cerita, nenek kerja kuat bukan untuk kayakan diri tetapi bantu orang kampung yang ramai susah masa tu.
Beberapa orang kampung sering jual tanah ke nenek kerana desakan hidup seperti tampung anak-anak ke universiti, ada juga kerana beban emosi dan nyawa di hujung parang. Salah seorangnya adalah Kiambang, mak kepada Kuntum (bukan nama sebenar).
1970-an
“Aku mana ada pitih nak beli tanah. Aku baru balik Mekah!” kata Halimah, mengeluh kepada Kiambang. Penat berlayar merentas lautan bagi menunaikan haji masih belum hilang.
“Tolong lah beli tanah ni, kalau tak Salman nak tetak aku dengan parang.” rayu Kiambang mengenangkan sepupunya itu sering mengugutnya sekiranya tidak mahu menjual tanah pusaka itu dan membahagikan wang.
Perbualan itu menyapa cuping telinga Kuntum, gadis sunti pemalu yang menyorok di dalam bilik. Tanah dusun datuknya dan pohon durian yang ditanam sejak zaman penjajahan Jepun bakal bertukar tangan, bukan lagi menjadi tempatnya bergelumang dengan ranah hijau.
Pemilik Baru
Meskipun dusun lain sudah berganti sawit, getah dan ladang komersial lain, tuan tanah yang baru ini putuskan untuk pelihara pohon-pohon bersejarah ini seadanya. Pokok durian terus berbakti dari satu generasi ke generasi sepanjang hayatnya berbanding tanaman komoditi yang hanya mampu bertahan beberapa dekad.
Saban tahun, dusun itu ceria dengan tawa hilai keseronokan anak cucu makan durian, pulut dan mandi anak sungai di hujungnya.
Kembali sunyi selepas habis musim buah, kembali jadi belantara. Hanya orang tertentu seperti pekerja upahan dari Selatan Thai yang sanggup duduk situ berbakti pada tanah seperti yang diamanahkan.
Tahun 2024, di sebuah kenduri
“Kadang bila tengok sedapnya orang makan durian di dusun tu, memang ada rasa kehilangan.” kata Makcik Kuntum kepada saya di sebelah yang menopang dagu ralit mendengar ceritanya.
Air sirap, cream puff dan segala jenis kuih di meja bufet tidak lagi menarik perhatian saya berbanding cerita makcik ini.
“Lama dah pokok-pokok durian tu, ada ratusan tahun kot umurnya. Arwah Atuk yang tanam, dia masuk hutan dan gunung untuk bertapa, pernah berkawan dengan harimau tau. Harimau sangat cam dan kenal dia, sebab dia suka bagi makan durian kat harimau tu.”
“Siapa nama atuk makcik?”
“Mat Hassan.” jawabnya.
Aik, bukankah itu nama salah satu checkpoint Gunung Tebu? Mungkin kebetulan nama serupa. Mungkinkah orang yang sama, Tuhan saja yang tahu.
Cerita ini terlalu berharga untuk dibiarkan lenyap. Ia bukan sekadar kisah tanah pusaka tetapi juga tentang akar kami yang mengikat pada masa lalu.
*Semua nama rekaan kecuali nama nenek saya