Senyumlah Semanis Gula, Jangan Cari Bapak Gula

Baru-baru ini kecoh di Malaysia tentang kewujudan ‘Sugarbook’, sejenis aplikasi di mana sugar daddy (bapak gula) boleh cari sugar baby seperti order pizza di Foodpanda.

Pengasasnya orang Malaysia dan dah kena tangkap pun sebab didakwa buka tempat pelacuran kelas atasan.

Mengikut pemahaman saya, sugar daddy ini biasanya lelaki beruang (ber-wang) yang menaburkan duitnya bagi menaja hidup sugar baby untuk jadi peneman. Biasanya lelaki tua gayut dan gendut macam teddy bear.

Apa yang menakutkan, rata-ratanya gadis muda terutama golongan siswi di Malaysia yang terjebak dengan apps ini dan jadi sugar baby. Alasannya adalah tak cukup makan dan duit untuk tampung kehidupan di IPT terutama pada era Covid-19 ini.

Bukanlah saya menidakkan struggle hidup mereka, jika betul susah sampai terpaksa pilih jalan tu dan saya pun tak nak judge hidup mereka. Dalam keadaan ekonomi tak menentu ini, memang ramai yang dalam keadaan rapuh. Dan ada juga pihak yang nak ambil kesempatan.

Cuma hal ini menakutkan sebab saya perhatikan ramai masyarakat sekarang anggap duit boleh selesaikan segala-galanya, sampai sanggup menepikan maruah dan agama. Rabun teruk untuk nampak halal haram dan cari keberkatan hidup. Gaya hidup hedonism pun makin berleluasa.

Dalam artikel VICE yang lalu di feed saya, kalau negara lain macam jiran kita ni pula, anak gadis mereka pilih jadi sugar baby sebab ia jalan singkat untuk hidup senang dan mewah ditaja bapak gula.

Menurut VICE itu lagi, isu ini semakin naik mungkin juga disebabkan oleh jurang ekonomi dan pendapatan antara lelaki dan perempuan.

Pendapatan yang diterima oleh perempuan dilaporkan lebih rendah daripada lelaki. Ini dah masuk cerita isu glass ceiling (sejenis metafora untuk menggambarkan yang wanita sukar untuk mendaki puncak karier).

Jadi ada di antara wanita yang cari pendapatan sendiri dengan jalan singkat— iaitu bersandar pada dompet tebal lelaki.

Walaupun ada yang kata date antara sugar daddy dan baby ni boleh sekadar makan-makan, jalan-jalan dan berbual, tipu lah kalau si bapak gula tak mengharapkan lebih dari itu.

Mengikut kata pepatah, ‘Dalam setiap lelaki, mesti ada lelaki.’

Hubungan sugar daddy-baby ini bukanlah untuk tolong perempuan cari pendapatan sebaliknya makin punah sebab ia memenuhi kehendak lelaki hidung belang untuk eksploitasi tubuh perempuan dan give the sense of power bila dia ingat boleh beli semua benda dengan duit.

Saya rasa kan, kita sebagai orang perempuan ni kena fikir panjang. Tak usah mengharapkan duit siapa-siapa jatuh ke riba untuk hidup mewah.

Selagi kudrat masih ada, kita usahakan jana income sendiri dengan cara halal dan baik di sisi Tuhan.

Jika kesempitan wang, mungkin boleh ikhtiarkan dengan minta bantuan zakat, derma atau minta tolong orang terdekat. Ini link senarai pusat bantuan zakat.

Insya-Allah setiap masalah ada jalan penyelesaian. Doa banyak-banyak ya. Jangan sesekali pergi gadai mahkota dan prinsip anda. Pesanan ini ditujukan kepada diri saya juga. Takut juga tewas dengan dugaan macam tu.

Hidup ni tak lama mana pun, dan bukan semua masalah kewangan kekal selamanya.  Sementara masih ada ruang dan masa ni, kita baiki diri, buat perkara-perkara yang bermakna di dunia ini dan menguntungkan di ‘sana’ nanti.

Image by Tumisu from Pixabay

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top