Hati saya selalu berbunga senang selepas hadam helaian demi helaian muka surat buku Edensor ini.
Buku ini sambungan siri-siri buku Laskar Pelangi. Baru saya tahu yang bapa penulis ini beberapa kali menukar namanya sebab tak ngam dengan perangainya yang nakal dan buas masa kecil.
Nama Andrea juga yang melekat, nama yang dipilih empunya badan sendiri selepas baca artikel dalam majalah tentang seorang perempuan Itali bernama Andrea yang panjat tiang telefon dan ugut nak terjun kalau Elvis Presley tak balas suratnya. Allahu….
Dalam buku Ederson ini, Andrea Hirata menceritakan bagaimana mimpi-mimpinya sejak kecil telah melontarkan dia sampai ke Menara Eiffel, Paris.
“Bermimpilah, karena Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu.”
― Sang Pemimpi
Beliau ditaja untuk berkuliah di Sorbonne, salah sebuah universiti kelas dunia yang terletak di Paris dan pernah menjadi tempat lepak Pascal, Baudelaire dan Voltaire.
Andrea turut cerita tentang warna-warni ragam manusia-manusia yang ditemuinya, cabaran hidup di negara orang dan timbunan emas berupa ilmu yang digali dalam kuliah pengajiannya.
“Begitu banyak hidup orang berubah lantaran sebuah pertemuan. Disebabkan hal itu, umat Islam disarankan melihat banyak tempat dan bertemu dengan banyak orang supaya nasibnya berubah”
― Padang Bulan
Baginya, kuliahnya itu bukan hanya tentang mengaji segala teori ekonomi tetapi juga kehidupan.
Gaya bahasanya yang bersahaja, berisi dan witty itu memang memikat.
Baca buku ni kena pula dengan situasi saya yang sedang stress dengan disertasi saya.
“Kalau kau datang untuk belajar dengan tersenyum, ilmu akan menyambutmu dengan tertawa.” – Andrea Hirata
Ia menjentik juga tangkai hati saya supaya refresh balik niat dan kepala yang asyik loading tu. Saya belajar ini sebab apa?
Andrea belajar ekonomi sebab nak bawa kemajuan kepada ibu pertiwinya. Manakala adiknya, Arai pula belajar pasal mikrobiologi kerana nak sanggah teori evolusi bawaan Darwin dan membela kebesaran Tuhan dalam penciptaan di muka bumi ini.
Kadang saya cemburu dengan semangat dua beradik ni yang ghairah meneguk ilmu tanpa sebarang syarat dan mereka ada life purpose.
“Hiduplah Untuk Memberi yang Sebanyak-banyaknya, Bukan untuk Menerima yang Sebanyak-banyaknya. (Pak Harfan)”
― Laskar Pelangi
Patutlah mereka berjaya dan jadi orang yang berjasa. Orang yang berilmu dan ikhlas ni memang Tuhan angkat martabatnya.
Harap semangat tu berjangkit dan meresap juga ke dalam jiwa saya supaya ikhlaskan diri untuk belajar sebab nak menyumbangkan sesuatu pada dunia walaupun dalam diam dan dianggap kecil.
Ini kalau saya ada anak perempuan, serius saya nak namakan dia Andrea 🤭. Dan sempat lagi berangan nak tinggalkan jejak di pasir pantai Pulau Belitung.