Hampir seminggu saya cuba ‘berpuasa’ daripada melayari media sosial.
Sebab utamanya adalah nak beri 200% fokus pada hal yang lebih mustahak.
Kemudian nak jaga kesihatan jiwa sebab boleh mental tau kalau banyak sangat serap content dalam tu. Kejap ketawa baca benda lawak, kejap menangis baca berita sedih. Buat penat mental.
Tapi tidaklah saya tinggal atau tolak terus media sosial ni sebab banyak pengetahuan, peluang dan pengumuman penting yang wujud dekat situ.
Suatu hari, saya pun bukalah media sosial untuk tak terus hidup dalam gua tempurung.
Pagi-pagi lagi saya sudah dihidangkan dengan cerita viral tentang keperitan hidup masyarakat pinggiran dalam laman sosial.
Viral sesetengah isu dalam masyarakat ni bagus juga untuk buka mata orang ramai.
Kadang lepas viral barulah ada pihak berwajib bergerak buat kerja atau ramai orang cuba bantu bila dah tahu.
Cerita 1: ‘Kemiskinan Haid’
Hazeman Huzir (Haze) pengacara popular itu ada membongkar topik ‘kemiskinan haid’ menerusi kicauannya di Twitter.
Pernah tak terfikir mengapa ada orang yang hidup susah tapi beranak ramai?
Menurut Haze, difahamkan ada sesetengahnya memang sengaja kerap mengandung 9 bulan sebab tak mampu beli pad!
Bila saya google tentang ‘Kemiskinan haid’ ini, media Free Malaysia Today melaporkan yang isu ini bukan saja tentang tak boleh beli tuala wanita disebabkan kekangan kewangan tetapi juga masih ada yang belum mampu untuk akses air bersih, sabun dan ilmu pengurusan haid.
Kelompok ini biasanya terdiri daripada golongan gelandangan, wanita di kawasan pedalaman dan terbaru, warga miskin kota.
Apa yang menyayat hati bila ada pelajar perempuan yang sanggup tak pergi sekolah sehingga tercicir dalam pelajaran sebab malu dan takut ‘bocor’.
Tak ramai yang berani bersuara dan dedahkan hal ini sebab ‘datang bulan’ sering diandaikan perkara yang tidak boleh disebut kepada khalayak. Jadi susah nak buka ruang perbincangan tentang hal ini dan tak ramai yang tahu termasuk saya yang baru sedar tentang kewujudannya.
Ada yang komen, ‘Bukankah tanggung anak ramai itu lebih menelan kos berbanding beli pad?’
Ada yang balas, ‘Mungkin kesempitan hidup masa itu buat mereka tak mewah nak fikir panjang. Mungkin juga ada yang percaya, beranak ramai murah rezeki.’
Kata Haze, kalau nak faham realiti sebenarnya memang kena turun padang. Kalau nak belajar lebih lagi tentang kehidupan dan diri kita ni, buatlah kerja amal.
“Judge orang memang senang, cuba tengok sendiri dan judge again.” šš» Padu ayat dia ni.
Cerita 2: Ebit Liew
Ebit Liew, seorang usahawan dan dermawan Muslim sering mendapat ‘lampu sorot’ daripada warga Malaysia sebab kemurahan hatinya.
Di mana ada orang susah, di situ ada beliau di segenap Malaysia
Pantang dengar cerita atau aduan orang yang dalam kesusahan, cepat – cepat tangannya menghulurkan bantuan.
Saya ternampak post tentang Malaysia Airlines yang menyokong padu usahanya itu di LinkedIn. Saya tangkap layar dan simpan sebagai inspirasi.
Apa yang saya belajar daripada Ebit Liew saat menukang artikel blog ini ialah kadang kita perlu pantas memulakan langkah untuk buat kebajikan dan kebaikan walaupun harus bergerak sendiri, tak perlu tunggu kebenaran atau pengiktirafan daripada mana-mana pihak pun.
Saya teringat kata-kata Nabi SAW, “Tangan di atas (memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (menerima)”. [HR Bukhari]
Islam ajar kita untuk tolong semua orang tak kira agama, bangsa, fahaman politik dan sebagainya.
Bila rasa tak cukup, ingat yang ada lagi orang lebih susah
Dua perkara di atas mengetuk diri yang selesa duduk dalam buih-buih hidup sendiri ini.
Saya akui yang saya pernah merenung jauh pada sesuatu yang saya cita-citakan tapi tak dapat, kadang terselit rasa rendah diri apabila melihat apa yang orang lain miliki terutama setiap kali menatal media sosial.
Sehingga terlupa melihat nikmat yang ada di depan mata dan bakal dipertanggungjawabkan di ‘sana’ nanti.
Selain tumpang gembira menatap kebahagiaan dan keseronokan orang lain, sesekali perlu juga mendongak di bawah, tengok orang yang lebih kurang bernasib baik daripada kita.
Bukan saja untuk ajar erti syukur, tetapi juga bagi hulurkan tangan dan ringankan beban mereka.
Kata ibu saya, “Hidup ini bukan tentang diri kita je.”
Sumber feature imaged: AD_ImagesĀ fromĀ PixabayĀ