Selalu kita dengar kisah inspirasi para pengasas- bagaimana mereka bermula dengan modal kecil, jatuh bangun hingga akhirnya berjaya. Self-made jutawan sering didendangkan dalam media.
Tapi jarang orang bercerita bagaimana perjuangan itu diteruskan oleh anak-anak selepas mereka. Bagaimana pula dengan adik-beradik? Ada yang putus saudara bertahun-tahun kerana konflik dalam perniagaan.
Bila ternampak poster seminar ‘Perniagaan Keluarga’ anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), saya pun daftar sebab nak dengar pelbagai perspektif daripada orang yang berpengalaman.
Untung-untung, mungkin ada penceramah yang faham dilema pewaris seperti yang saya rasa sekarang.
Legasi Perniagaan Terhenti Selepas Kematian
Jam 2.00 petang, wakil daripada AmanahRaya mula membentang.
Terus terasa seram sejuk bila dengar nama AmanahRaya, sebab ia berkaitan dengan bisnes orang mati. Ia sebuah syarikat milik kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir harta pusaka.
Pernah terlintas di hati saya, seandainya harta boleh membeli umur orang-orang tersayang supaya dipanjangkan lagi, mahu saja saya lakukannya.
Rasa macam tak nak sebut, tak nak dengar pun perihal kematian, tapi ia tetap satu hakikat yang boleh berlaku bila-bila masa. Hilang selera makan bila terfikirkan persediaan menghadapi kematian sendiri atau ahli keluarga.
Saya kena belajar meletakkan dunia di tangan, bukan di hati. Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya tidak takut mati. Antara keindahan kematian ialah pertemuan dengan Allah SWT bagi orang yang beriman.
Tapi… dengan kelalaian, sikap, amalan dan gaya hidup saya yang serba kekurangan ini, adakah Allah sudi bergembira bertemu saya?
Bagaimanapun, persediaan tetap perlu dibuat. Selain amalan sebagai bekal ke sana, harta dan legasi bisnes yang ditinggalkan di dunia juga perlu diurus dengan baik. Malah, harta yang jatuh ke tangan orang soleh pun boleh menjadi saham di akhirat.
Difahamkan apabila kematian mengejut berlaku, pengurusan harta dan bisnes turut huru-hara dalam kalangan waris. Kita pun pernah dengar macam-macam cerita dan berita, kan? Manusia boleh jadi lain bila melibatkan harta dan duit untuk kepentingan peribadi.
Rasa sayu, enggan berjumpa sesiapa dan hanya mahu alone with my thoughts saat menulis artikel ini.
Namun rasa takut ini berguna, kerana ia menyedarkan saya supaya mengambil langkah berjaga-jaga. Sekurang-kurangnya ambil tahu tentang pengurusan dokumen rasmi, wasiat, geran, dan belajarlah serba sedikit tentang selok-belok bisnes, undang-undang, dan pengurusan harta pusaka.
Anak-anak Enggan Meneruskan Legasi
Tak ramai anak-anak yang mahu menyambung warisan perniagaan keluarga. Kebanyakan mereka bila diberi pendidikan, lebih cenderung memilih makan gaji misalnya jadi cikgu, peguam, atau profesional lain.
Ibu bapa yang berniaga pula sering sengaja membuka laluan begitu supaya anak-anak tidak perlu hidup susah seperti mereka dulu semasa bangunkan bisnes dan berhutang.
Itulah antara dapatan kajian pihak AmanahRaya yang menarik perhatian kerajaan. Katanya, kerajaan bercadang menubuhkan satu bentuk ‘klinik’ untuk merawat isu ini dan membangunkan perusahaan keluarga agar dapat terus berkembang.
Realitinya, kerajaan memang tak mampu sediakan peluang kerja yang cukup untuk limpahan graduan yang semakin meningkat.
Nak harapkan syarikat-syarikat besar pun ibarat bermimpi di siang hari kerana tempat terhad, ditambah lagi dengan pergelutan perubahan zaman, pasaran, teknologi, ekonomi, isu geopolitik, alam sekitar dan pelbagai hal di luar kawalan.
Perkara ini turut diakui oleh makcik saya yang bekerja di salah satu syarikat GLC ternama negara.
Justeru, diharapkan para usahawan termasuk sektor SME dapat menyediakan peluang pekerjaan, selain daripada diperah cukai.
Lebih daripada Sekadar Untung
Membangunkan perniagaan keluarga bukan sekadar tentang keuntungan dan operasi, tetapi tentang legasi, perwarisan, dan kesinambungan.
Kepimpinan dan tadbir urus yang baik dapat membuahkan bisnes yang mampu bertahan dan terus berkembang.
Ada banyak case studies yang menunjukkan perniagaan keluarga berkembang pesat selepas diambil alih atau dibantu oleh anak-anak. Contohnya Mr. DIY, Siti Khadijah, Mydin, Jakel, dan Habib Jewel.
Sampai sini dulu coretan saya. Insya-Allah, nanti bersambung lagi tulisan tentang hal family biz ini.
Stay tuned!

