Saya suka dengar dan tonton video berkenaan psikologi kewangan di YouTube, sebab penerangannya sungguh comforting.
Suatu hari, salah satu video dalam niche itu mengupas tentang kenapa orang suka menunjuk-nunjuk kemewahan dan kebendaan.
Kupasan itu mengingatkan saya kepada dua kisah yang banyak memberi pengajaran dalam kehidupan.
Dalam masyarakat kita, kadang ada orang bila tiba-tiba hidup senang, jadi terlalu ingin membuktikan sesuatu.
Ada yang cari kuasa & validasi melalui kekayaan, dan ada yang kejar penerimaan sosial & status melalui gaya hidup seperti kisah-kisah di bawah:
Kisah #1
Azmi (bukan nama sebenar) berasal daripada keluarga sederhana di sebuah kampung.
Sejak kecil, dia sering mahu menang dalam apa juga perkara. Azmi mudah sakit hati dan rasa tak cukup bagus jika ada orang menandinginya.
Dia percaya tiada siapa dapat menjadikannya kaya selain dirinya sendiri. Mak dan ayahnya pun menaruh harapan besar padanya.
Selepas tamat belajar, dia mula menjalankan perniagaan kontrak dan projek kecil-kecilan. Rezekinya mencurah, kini dia dikenali sebagai kontraktor berjaya dengan aset jutaan ringgit, bot, dan tanah di sana-sini.
Tapi sayangnya, semakin besar rezeki, semakin besar juga egonya.
Azmi dan keluarganya gemar mencanang harta serta wang yang mereka miliki kepada orang kampung. Mereka sering menayang kereta baru, percutian luar negara, dan melakukan ‘humble brag flex’ di media sosial.
Hidung mereka kembang jika dipuji, “Wow, kayanya!”. Namun orang yang tidak mengendahkan atau tidak kagum dengan kekayaan mereka dianggap musuh.
Mereka tidak sangka masih ada manusia dalam dunia ini yang langsung tidak terkesan dengan kemewahan mereka.
Azmi merasakan kekayaan memberinya kuasa untuk membeli apa sahaja, mengawal, bahkan menindas orang di sekelilingnya. Kadang kala dia juga iri hati terhadap rezeki orang lain.
Kesian juga dengan Azmi dan keluarganya. Mereka menyangka dengan menayang kekayaan, orang akan lebih hormat, tunduk, dan takut kepada mereka.
Padahal di belakang, orang kampung melihat mereka sekeluarga sebagai manusia perasan yang terloncat-loncat mengemis perhatian dan sanjungan.
Azmi tak sedar ramai yang mula hilang hormat padanya, malah ada yang mengejek di belakang kerana kelakuannya tidak mencerminkan profesion dan tahap pendidikannya.
Dia terus hanyut dalam dunianya yang syok sendiri.
Kisah #2
Anisa (bukan nama sebenar) berasal daripada keluarga susah di sebuah negeri pantai timur dan bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP). Sejak remaja, seleranya tinggi.
Dia hairan mengapa rakan-rakan sekolahnya yang anak orang berada berpakaian selekeh dan nampak begitu sederhana. Kalau dia di tempat mereka, tentu sudah lama bergaya.
Apabila menyambung pelajaran di Kuala Lumpur, dia sedaya upaya menyembunyikan loghat negeri asalnya. Dia hanya membeli barangan dan tudung berjenama, serta memilih berkawan dengan orang berada dan berstatus. Dia tidak mahu dilihat miskin atau kampungan.
Kemudian dia bekerja di sebuah bank terkemuka. Media sosialnya dipenuhi dengan gambar percutian mewah, aktiviti membeli-belah dan kunjungan ke kafe eksklusif.
Anisa bekerja keras memanjat tangga korporat demi membiayai gaya hidupnya, agar dilihat sebagai wanita urban yang berjaya.
Mentaliti di Sebalik Gaya Hidup Mewah
Kadang-kadang saya pun faham perasaan mereka, keinginan untuk diiktiraf itu manusiawi. Cuma beza antara kita ialah cara kita menguruskannya.
Dua kisah ini jadi renungan buat saya kerana ia bukan hanya melanda pada segelintir individu, tapi sudah jadi penyakit sosial.
Isu anak muda bankrap sebab gaya hidup mewah ni bukan benda baru, dah banyak kali keluar dalam berita.
Ada yang nak makan pun susah, tapi berhutang buat beli iPhone kerana sindrom Fear of Missing Out (FOMO).
Kadang kita pun tak sedar, tekanan sosial tu yang buat ramai rasa perlu tunjuk status kewangan di media sosial.
Kita hidup dalam zaman masyarakat yang terlalu mengejar pengiktirafan dan validasi.
Akibatnya lahirlah rasa tidak pernah cukup dan rasa rendah diri yang mendalam.
Sedangkan rasa syukur ialah kekayaan jiwa yang ramai tak sedar.
Mindset, ego dan sikap seseorang sangat berkait rapat dengan cara mereka mengurus wang.
Selalunya orang yang beli barang berjenama sebab FOMO ni tak semestinya betul-betul suka pun benda tu, tapi kerana ingin dihormati dan diterima dalam kelompok tertentu.
Gaya hidup golongan kaya yang tampak eksklusif dijadikan ikutan supaya dipandang sama tinggi.
Nilai Sebenar Kekayaan
Akhirnya fahamlah saya, ada perkara yang wang tak boleh beli iaitu classy dan taste. Kalau buat untuk impress orang, nampak macam ‘try hard’ .
Kekayaan sebenar ialah apabila berjaya capai kebebasan kewangan, mampu menyimpan, melabur untuk kebaikan dan hidup tanpa rasa perlu membuktikan apa-apa kepada sesiapa.
Satu lagi bentuk kekayaan yang tidak kelihatan adalah kebahagiaan dan ketenangan.
Hal ini hanya dapat dirasai oleh hati yang benar-benar bebas.

