‘Tauke Kedai Emas Dirompak Selepas Menayang Duit Di Media Sosial’
‘Gadis Berusia 14 Tahun Dirogol Kenalan WeChat’
Demikianlah bunyi tajuk berita saya pernah dengar atau baca suatu ketika dahulu. Sungguh menakutkan.
Pada zaman web 2.0 atau media sosial ini, diari kehidupan bukan lagi suatu rahsia.
Sesiapa saja bebas meluahkan isi hati, cerita, pendapat dan menayang gaya hidup kepada umum.
Tidak mengapa, kerana itu pilihan dan hak masing-masing. Tambahan pula, media sosial mampu membantu dari segi komunikasi, urusan perniagaan dan sumber ilmu pengetahuan jika bijak manfaatkannya
Namun kelakuan dan kegiatan di media sosial haruslah berpada-pada kerana semakin mendedahkan diri kepada khalayak, semakin tinggi risiko privasi dicerobohi oleh sesiapa.
Berikut 11 perkara yang kalau boleh cuba elakkan di media sosial untuk keamanan hidup:
1. Cuba kurangkan mengiklankan kebahagiaan dan kemanisan kisah cinta atau rumah tangga anda di media sosial. Mata-mata ‘Penyodok’ mungkin sedang memerhati.
2. Hindari meluahkan hal peribadi atau umpatan di laman sosial. Anda tidak akan tahu ‘siapa’ yang membaca atau mendengarnya.
3. Elakkan terima sembarangan permintaan menjadi rakan daripada orang yang tidak dikenali terutama pemilik akaun media sosial palsu.
4. Jauhi menyimpan kata laluan di internet atau lupa log out supaya profail anda tidak diceroboh.
5. Jangan mudah jatuh cinta dengan sesiapa sahaja di media sosial. Selidik betul-betul orangnya kerana boleh jadi mereka sebenarnya pemangsa.
6. Elakkan terlalu berkongsi gambar atau aktiviti anak-anak kepada umum demi keselamatan mereka, bimbang pedofil atau penculik perhati je dari balik skrin.
7. Jangan terlalu kerap mendedahkan lokasi atau kegiatan anda, terutama kalau tinggal berseorangan.
8. Kurangkan menunjuk barang-barang mewah atau duit berkepuk di media sosial kerana ini semua magnet kepada pencuri dan perompak.
9. Jangan kongsikan gambar tidak senonoh di internet kerana potensi untuk tersebar itu tinggi.
10. Elakkan menayang gambar kehamilan atau ‘baby bump’ sebab memang wujud orang yang berniat tidak baik dan berfikiran kotor.
11. Jangan lupa memohon perlindungan-Nya daripada segala fitnah dan pesona dunia akhir zaman ini.
Hakikat yang pahit
Hidup ini bukan hitam putih, ada macam-macam jenis orang termasuk dalam dunia siber.
Ada orang boleh benci atau memaki anda tanpa sebab (walaupun tak kenal).
Ada yang berhasad dengki dalam diam atau terang-terangan bila melihat kebahagiaan dan kegembiraan anda.
Ada yang menyimpan gambar anda dalam diam untuk tujuan tidak elok.
Ada yang mengharapkan kejatuhan anda.
Bukan semua orang mampu bergembira untuk anda.
Bukan semua orang memiliki hati bersih suci murni dan mampu optimis. Rambut pun tidak sama hitam- ada warna coklat, merah dan blonde, inikan pula hati orang yang lain-lain.
Kadang kala media sosial boleh menjadi telinga, mulut dan mata ‘iblis’.
Kita tidak mampu mengawal hati orang mengikut seperti yang dimahukan tetapi kita boleh mengawal perasaan dan tindakan sendiri bagi menjaga diri dan orang-orang tersayang.
Credit featured image: Gerd Altmann from Pixabay