Sebelum serius memulakan hari, saya nak buat proses ‘brain-dump’ kejap. Selepas subuh tadi, saya telah melebur masa buka laman Twitter.
Saya sering buka media sosial ni sebab saya follow akaun personaliti yang mahir dan rajin share tips tentang digital marketing, bisnes dan penulisan. Saya suka baca pandangan dan perkongsian mereka.
Namun timeline saya turut tak dapat sunyi daripada menjadi medan melepas angst dan keluhan para pengguna (rata-ratanya orang muda-mudi) tentang kebobrokan sistem serta penumpahan teh tentang aib manusia. Seolah-olah semua kejelikan di dunia ini tertumpu di situ.
Fikirkan sangat fasal ketidakadilan dunia dan rasa diri mangsa keadaan ini boleh sakit jiwa.
Di laman Twitter, panas berapi timeline saya dengan pelbagai isu yang diperbesarkan dan diciapkan oleh netizen lebih-lebih lagi tentang politik negara.
Dalam banyak-banyak media sosial, Twitter antara tempat paling cepat berita tersebar sama ada berita sahih atau palsu. Orang sekarang berlumba-lumba nak jadi paling awal tahu dan hebahkan sesuatu maklumat.
Hari-hari, malah mungkin setiap saat orang menyumpah dan trending #kerajaangagal. Isu pembalakan hutan, statement menteri yang blur dan peraturan yang dikatakan double standard menaikkan lagi darah orang ramai.
Hal ini mencetuskan rasa bimbang, takut dan panik. Teruk sangat ke situasi sekarang?
Malah ada yang nak tukar kerajaan seperti tukar baju. Saya rasa naiklah kerajaan spesies apa pun, 2X5 je semua. Makian tetap akan jadi makanan mereka. Tak akan ada yang sempurna dan orang puas hati.
Yang acah-acah sosialis pun saya tak percaya juga. Terutama yang ada rekod tak jujur dan nampak macam ada agenda tersendiri. Banyak dah berlaku dalam sejarah bila mana pemimpin yang diangkat kononnya lantang nak bela nasib rakyat akhirnya jadi diktator. Sesetengah manusia ni bila pegang kuasa, mungkin akan terdetik juga walau sekelumit untuk jaga dan penuhkan tembolok sendiri dulu.
Kita memang patut cakna dengan isu semasa dan keadaan politik tanah air sebab dasar-dasar dan peraturan yang dibuat itu akan terkena tempias juga pada kehidupan kita walaupun indirectly.
Namun nak invest banyak masa dalam drama politik ini sangat tak berbaloi, tak membantu, buang tenaga, emosi dan masa yang sepatutnya kita guna untuk buat perkara lebih berfaedah.
Rakyat bergaduh sesama marhaen di media sosial dan kedai kopi untuk pertahankan parti kesayangan masing-masing, orang atasan entah apa yang dibuatnya dalam bilik berhawa dingin dan berkerusi empuk di pejabat sana.
Biasanya saya selalu cuba tahan diri saya daripada komen atau melempar syiling ‘my two cents’ lebih-lebih di media sosial sebab takut ter-emosi, naik sheikh dan lebih menakutkan kalau jatuh ke lembah fitnah. Saya percaya dalam setiap cerita ini ada two sides of a coin dan kita mungkin cuma dengar satu sisi je.
Saya bimbang untuk menyakiti hati sesiapa dan malas lah nak gaduh-gaduh dengan strangers yang tak boleh nak merayakan pendapat berbeza. Rata-ratanya saya tengok cepat panas, nak kecam dan maki, mungkin sebab mereka rasa boleh berselindung di sebalik skrin jadi tak ada rasa accountability. Cuba jumpa depan-depan tengok berani ke tak.
Perbalahan di media sosial ni mungkin tak akan pernah surut. Dah jadi macam satu entertainment. Macam sarkas. Itulah realitinya.
Apabila saya tutup laman Twitter, melihat sekeliling dan mendengar kicauan burung ciptaan Tuhan yang real di luar tingkap, dunia ini tidaklah seteruk seperti yang digemburkan dalam media sosial itu.
Image by Joshua_Willson from Pixabay