Bila lalu di jalan sebuah kampung kecil ini, dari jauh anda akan nampak ada sekumpulan warga emas yang duduk di perhentian bas, macam berbual dan ada yang berkebun.
Semuanya kelihatan normal sehinggalah anda tersedar yang ‘orang-orang’ di situ bukanlah manusia sebenar. Kampung Nagoro di Jepun ini jadi terbiar dan sunyi sepi setelah ditinggalkan oleh kebanyakan penduduk asalnya.
Populasi sekarang tak sampai 30 orang dan umur penduduk paling muda pun 50 tahun. Rata-ratanya warga emas dan ramai yang dah meninggal.
Manakala orang muda pula berpindah ke kota-kota besar untuk cari kerja dan peluang ekonomi yang lebih baik.
Kini desa tersebut dihuni lebih daripada 350 patung orang-orang di pelbagai sudut lokasi, hasil tangan Ayano Tsukimi. Mulanya dia buat untuk halau burung di kebun tapi bila tengok cara tu efektif, jiran-jiran pun minta buat satu untuk mereka.
Kemudian dia buat lagi satu mirip dengan mendiang jiran yang dia biasa berborak hari-hari, supaya boleh ‘bercakap’ lagi macam dulu-dulu. Bila ramai lagi penduduk kampung meninggal, dia jahit lagi boneka-boneka persis orang tu untuk memperingati mereka.
Walaupun sepi daripada penghuni asal, akhirnya kampung itu ‘meriah’ dengan kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara selepas ramai tahu.
Kalau anda rasa Tokyo dah mainstream sangat, cuba pergi tempat ni pula. Tapi memandangkan nak travel ke KLIA pun macam tak lepas lagi, boleh ‘jalan-jalan’ secara siber untuk lihat pemandangan aneh ini menerusi Google Maps 360˚ street view.
Sumber info: CNN & Time Out
Sumber gambar: Instagram