Seandainya pokok zaitun boleh bersuara, barangkali mereka enggan terus menjadi saksi bisu terhadap tangisan, jeritan dan letupan yang berakar daripada konflik Palestin–tanah haram Israel sejak tahun 1948.
Setiap kali membaca berita tentang kekejaman rejim Zionis, hati ini bagai disambar api kemarahan. Dari zaman dulu lagi, Bani Israel dikhabarkan sebagai kaum yang degil, banyak songeh, dan rakus terhadap dunia.
Dalam satu tazkirah Subuh, ustaz menceritakan bagaimana ramai nabi diutuskan untuk memperbetulkan akidah mereka, namun mereka bukan sahaja menolak bahkan membunuh para utusan itu. Hari ini, waris-waris ideologi itu menjarah tanah Palestin, menindas rakyatnya, dan menafikan hak asasi mereka.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya berperanan mengamankan dunia hanyalah puppet kerana kuasa vetonya dipegang Amerika Syarikat (AS), negara yang berjabat tangan dengan Israel.
Lebih menyedihkan, bantuan kemanusiaan yang cuba disalurkan kepada rakyat Palestin melalui badan-badan sah turut disekat tanpa belas. Kezaliman ini membangkitkan amarah umat Islam seluruh dunia, termasuk rakyat Malaysia.
Lalu tercetuslah gelombang solidariti dalam bentuk perang siber, perarakan demonstrasi, sebaran maklumat, dan kempen boikot besar-besaran.
Boikot: Antara Simbol dan Realiti
Kebangkitan ini ada sisi positifnya iaitu menyemarakkan kesedaran terhadap isu Palestin dan menjadi tekanan moral serta ekonomi, walaupun kesannya tidak serta-merta.
Namun saya mula bertanya pada diri sendiri: adakah sekadar melaungkan slogan, bersuara lantang di media sosial, dan memboikot sudah cukup, efektif dan sustain untuk bawa perubahan sebenar?
Kerana realitinya, banyak kempen ini bersifat bermusim dan trending. Contohnya, ketika ‘musim boikot’, ada sebuah kedai makan tidak lagi menjual air Milo. Namun setelah isu reda, menu itu kembali seperti biasa. Sedangkan di bumi Gaza, darah dan air mata masih terus mengalir tanpa henti.
Struktur Dunia yang Kita Tumpang
Dalam masa yang sama, kita juga sedar medium yang digunakan untuk sebarkan kesedaran media sosial, aplikasi teknologi, platform tempahan dan sistem ekonomi kebanyakannya berpunca dari Barat, khususnya Amerika Syarikat AS yang secara terang-terangan menyokong Israel.
Kita sebenarnya ibarat menumpang di rumah orang, sambil melaungkan protes kepada tuan rumah. Maka tidak hairanlah jika suara kita mudah ditapis, disekat atau dibisukan.
Boikot ini juga mendedahkan betapa bergantungnya kita kepada infrastruktur global yang dimonopoli syarikat-syarikat gergasi seperti Google, Apple, Meta dan pelbagai jenama antarabangsa dalam sektor makanan dan peruncitan.
Tanpa sistem alternatif yang kukuh, kita tetap berpusing dalam ekosistem mereka. Maka timbul lah dilema: “boikot sana sini, tapi alternatif pun tak ada atau tidak setanding dari segi kualiti.”
Dilema Pengguna & Peniaga Tempatan
Sebagai orang biasa, saya akui perasaan marah, sedih dan keliru bercampur-baur dalam diri ini. Isu yang cuba saya bangkitkan ini rumit, ia bukan sekadar soal emosi terhadap kezaliman Israel, tapi kesannya menjalar ke ekonomi, sosial, dan gaya hidup seharian rakyat Malaysia.
Dalam kehidupan seharian, terlalu banyak aspek terikat dengan sistem global yang sukar dielakkan. Saya bersetuju dengan boikot sebagai tanda solidariti. Namun saya juga melihat ramai peniaga kecil yang terjejas apabila infrastruktur alternatif belum cukup kuat untuk menampung keperluan.
Kita seolah-olah tersepit dalam sistem yang bukan kita bina, tetapi kita bergantung sepenuhnya kepadanya. Masyarakat kita cepat bersemangat apabila boikot dilancarkan, tetapi kurang tumpuan untuk membina penyelesaian jangka panjang. Kita lebih banyak bertindak secara reaktif, bukan strategik.
Persoalannya: sampai bila kita mahu terus bergantung kepada sistem orang lain sambil marah pada ketidakadilan dunia? Bila kita mahu mula membina sistem sendiri?
Membaca dan Membangun: Kunci Kekuatan
Berdasarkan pembacaan saya, ekonomi dan industri kreatif Amerika Syarikat banyak dikuasai oleh golongan Yahudi. Salah satu rahsia kejayaan mereka ialah pengamalan prinsip ‘Iqra’ — membaca, menulis, berfikir, mengkaji dan merenung alam semesta.
Apabila kita menelusuri zaman kegemilangan Tamadun Islam, para cendekiawannya menjadi pelopor dalam bidang natural science melalui pengamatan mendalam, kajian sistematik, serta kaitkan ilmu tersebut dengan ajaran agama.
Sayangnya, amalan ini semakin jarang diamalkan oleh umat Islam hari ini. Kita terlalu selesa ‘berhibernasi’ dalam kepompong sendiri atau malah mungkin sedang sibuk saling berbalah sesama sendiri.
Pada zaman kegemilangan Islam dahulu, orang bingung mahu bersedekah kepada siapa kerana hampir tiada yang miskin. Hari ini, ramai miskin jiwa, dibuai hiburan dan platform digital yang dimiliki pihak lawan.
Masa dan tumpuan kita adalah aset sebenar, nilainya jauh melangkaui wang ringgit. Namun, aset ini kini banyak dikuasai oleh mereka melalui Facebook, Instagram, WhatsApp dan YouTube.
Mereka menjana kekayaan dengan mencuri masa dan perhatian kita, kemudian menjualnya kepada pengiklan. Dengan duit, mereka boleh membeli kuasa, harta, undang-undang dan maruah, tetapi kasih sayang dan keadilan tidak akan pernah mampu dibeli.
Solusi Bermula dari Diri
Tulisan ini bertujuan untuk mengetuk fikiran saya, tidak bermaksud untuk menuding jari kepada sesiapa kerana satu telunjuk menghala ke orang, 3-4 jari lagi tuju ke arah saya.
Lagipun, saya sendiri merupakan cerminan dan sebahagian daripada masyarakat. Ini merupakan satu renungan tentang keadaan umat dan diri.
Oleh itu, saya berpendapat jika benar ingin berubah dan bangkit melawan kezaliman, maka perjuangan itu perlu bermula dengan pembaikan diri dan masyarakat terdekat..
Perkukuh institusi kekeluargaan, didik generasi dengan ilmu dan kesedaran, membangun dan menyokong ekonomi serta teknologi umat Islam sendiri.
Boikot dan solidariti adalah langkah penting, tetapi ia bukan destinasi akhir. Ia sepatutnya menjadi pintu masuk kepada kesedaran yang lebih mendalam, iaitu untuk membina kekuatan sebenar dari dalam.
Saya tahu ramai rakyat Malaysia termasuk kawan-kawan yang jauh lebih ke depan dalam memperjuangkan isu di Palestin ini, dan saya sangat hormat serta kagum dengan usaha mereka.