REXKL: Panggung Terbakar, Jiwa Tak Hangus

Di tengah hiruk-pikuk kota, berdiri sebuah bangunan bekas pawagam yang belum benar-benar mati. Dindingnya pernah disambar api, kerusinya pernah dibasahi darah sejarah, dan skrin putihnya pernah jadi saksi rusuhan yang menggemparkan.

Sekadar gambar hiasan

Namun, seperti jiwa yang enggan tunduk, bangunan ini terus bangkit;  bukan sekadar ruang fizikal, tapi rumah kepada memori, seni dan harapan.

Dulunya tempat ini hanya hitam putih di layar, kini berwarna-warni dengan denyut seni moden.

Lokasinya dekat sahaja dengan Pasar Seni.

Dari situ, saya dan adik-adik berjalan kaki melintas jalan dan menyusuri bangunan kedai-kedai lama menuju ke gedung tua yang pernah dijilat api itu.

Inilah diari bangunan bernama REXKL:


1947

Dari debu-debu pascaperang, berdirilah sebuah panggung yang bakal menjadi saksi zaman keemasan layar perak — inilah detik kelahiran REX di tengah kota.

Panggung REX dibuka secara rasmi pada 28 Julai 1947 oleh Shaw Brothers. Direka oleh arkitek James Robert Vethavanam, ia menjadi salah satu pawagam terawal di Kuala Lumpur.

Gambar lama Rex Cinema. Image credit: Chinatown- Steve Bristow & Edwin Lee

1969

13 Mei. Rusuhan kaum besar tercetus di tengah bandar Kuala Lumpur.

Tiga remaja Cina dikatakan menyelinap keluar waktu perintah berkurung untuk menonton wayang di Pawagam REX. Namun, ketika filem sedang dimainkan, layar tiba-tiba bertukar menayangkan perkataan “DARURAT”.

Keganasan tercetus apabila kumpulan gangster bersenjata parang menyerbu masuk. Penonton panik. Darah, jeritan, dan tubuh manusia yang cuba memanjat kerusi-kerusi pawagam menjadi mimpi ngeri yang takkan dapat dilupakan.

Seorang daripada mereka mengalami trauma mendalam, menjadi bisu dan bergantung pada ubat-ubatan  sepanjang hayat.

Adegan pilu petikan dari blog ini mengingatkan saya pada novel ‘The Weight of Our Sky’ karya Hanna Alkaf. Ada juga versi webtoon dan ceritanya best.


1972

Api menyambar tanpa amaran. REX terbakar, bangunannya hangus — seolah-olah tragedi lama ingin dihapus dengan bara. Ia ditutup sementara, menanti takdir seterusnya.


1976

REX dibangunkan semula. Kali ini lebih megah, satu skrin, lebih seribu kerusi dan kembali jadi tempat manusia lari dari realiti, menyelam ke dunia filem.

Golden Communications (kini GSC) mengambil alih dan menjadikannya antara pawagam paling moden pada zamannya.


1993

T-Rex dalam filem ‘Jurassic Park’ meraung garang dalam pawagam. REX menjadi pawagam pertama di Malaysia yang menggunakan sistem bunyi digital. Teknologi baharu, pengalaman baharu. REX kembali hidup, dengan penuh bergaya.

Sekadar gambar hiasan

1995

Tiket kini berkomputer, foyer berwajah baharu. Tapi yang kekal: rasa teruja ketika lampu dimalapkan, dan dunia lain muncul di skrin.


2002

Tragedi berulang. Satu lagi kebakaran. Kali ini lebih teruk dan menyebabkan GSC menghentikan operasi pawagam. REX, sekali lagi, terpaksa mengalah. Panggung ini kembali sunyi, hanya tinggal abu dan kenangan.


2007

Bangunan ini diberi nafas baharu sebagai hostel backpacker bernama Red Dragon Hostel. Tetapi, sejarah berulang apabila satu lagi kebakaran berlaku dalam tahun yang sama. Hostel itu ditinggalkan.


2018

Dua jiwa kreatif memandang REX bukan sebagai bangkai, tapi kanvas. Shin Tseng dan Shin Chang menyalakan semula jantung bangunan ini sehingga REXKL bangkit dari abu menjadi sebuah pusat seni dan komuniti dengan ruang muzik, kulinari, seni digital interaktif, dan kedai buku.

Berseni, berjiwa, dan terbuka kepada komuniti — inilah versi terindah bangunan ini setakat ini.


Kini, 2025

Saya terjumpa tentang REXKL ini di internet semasa research tentang cawangan BookXcess yang paling unik di Malaysia. Selain di Ipoh, cawangan di REXKL ini betul-betul menggamit rasa untuk saya menulis.

Bangunan ini yang dahulu pernah jadi saksi zaman kegemilangan filem hitam putih Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kini berwarna semula.

Dindingnya kini dipenuhi grafiti, lampu-lampu hipster, dan ruang gaya rustic industrial yang ‘hidup’.

Jom explore apa ada di dalamnya:

Struktur asal Rex Cinema termasuk luar dan dalamnya  masih dipelihara.

Tak cukup lantai lari kalau jumpa benda ni malam-malam

Dinding kelabu kusam bertekstur abu dan tangga mozek asal itu turut dikekalkan, seolah-olah bangunan ini mahu terus bercerita tentang sejarah lamanya kepada setiap langkah yang melintasinya.


Akhirnya sampai ke BookXcess yang menghuni tingkat dua, mezzanine (separuh tingkat dengan rak-rak buku menjulang tinggi) dan tingkat tiga bangunan ini.

Cute postcard

Rak bukunya membentuk lorong-lorong kecil seakan labirin dan pagar sesat buat pencinta buku yang sanggup hilang arah demi sebuah judul dan kulit buku yang memanggil.


Tapi secara peribadi, tak banyak buku yang betul-betul boleh menggoda saya di sini. Tak macam di Kinokuniya, tempat di mana phone saya duduk diam-diam di dalam beg kerana saya tenggelam dalam dunia aksara.


Namun, rekaan kedainya memang cool dan Instagramable- cukup untuk jadi destinasi wajib buat penikmat konten visual.

Bukan bookexcess kalau takde pop art gini


Cuma kesian juga tengok pengunjung yang posing nak bergambar, tapi asyik kena photobomb. Ruangnya agak sempit, ada masa berlaga bahu, kadang terpaksa buat u-turn kalau bertembung. Di sebalik sekeping gambar dan segugus likes di socmed, tersimpan 1001 kisah struggle tau.

Pada zaman dulu, tingkat atas sekali ni dikatakan tempat duduk VIP dalam panggung wayang ni

Menariknya, ramai tertumpu di tingkat tiga bersama telefon dan tripod masing-masing. Kaunter cashier pula nampak macam watak sampingan; sunyi dan tak sibuk. Tapi sempat juga saya sambar satu novel Jepun sebab sekarang saya tengah gian dengan sastera Asia Timur.

Begitulah ceritanya. Tidak hanya manusia, bangunan juga menyimpan kisah — menjadi saksi bisu kepada zaman, peristiwa, dan jiwa yang pernah melaluinya. Ia menua bersama kenangan, menampung waktu sebagai arkib hidup yang senyap namun masih setia berdiri.

Sumber: REXXKL, The Edge, Naibnb

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top