The Founder: Resipi Rahsia Kejayaan Pengasas McDonald’s

Pada suatu malam, saya menonton filem bertajuk ‘The Founder’. Ia mengisahkan tentang kegigihan pengasas McDonald’s (McD) untuk membangunkan empayar restoran makanan segera.

Selepas tonton filem ini, anda mungkin tak akan pandang McD dengan cara yang sama lagi.

Sebelum ini saya cuma tahu makan McChicken set kecil dan aiskrim sundae, malam itu barulah saya tahu yang pengasas francais McD bukan bernama McDonald tetapi seorang lelaki bernama Ray Kroc.

Ray Kroc ini asalnya merupakan salesman yang selalu dihempas pintu ke mukanya setiap kali dia cuba jual mesin susu kocak kepada pemilik restoran pandu lalu.

Bila ditolak, dia tak adalah pergi bakar restoran itu. Habis geram pun setakat ketap gigi saja. Betul lah kata orang, salah satu skil menjual adalah bagaimana mahu menangani rejection.

Restoran pandu lalu atau drive thru pada awal era 1950-an dulu bukan macam sekarang. Keadaannya teruk jugalah sebab jadi port lepak remaja nakal, mat rempit, kotor dengan sampah, tempat maksiat dan pelayan selalu bagi makanan yang salah oder. Makanannya pula pelbagai jenis yang diletakkan dalam pinggan, ada sudu garpu dan makan dalam kereta.

Suatu hari, pemilik asal restoran McDonald’s menelefon Ray untuk pesan lapan buah mesin susu kocak. Terkejut Ray mendengarnya lantas dia menghamparkan peta Amerika untuk cari di mana restoran itu dan merentas negeri-negeri untuk sampai ke sana.

Di situ, dia berkenalan dengan Mac dan Dick McDonald.

Dia sangat wow melihat restoran yang diasaskan dua beradik McDonald itu sebab perkhidmatannya amat pantas, burger sedap, lain dari yang lain dan bersistem.

Apa yang menarik, mereka tidak serabut dengan menu lain sebaliknya hanya berfokuskan burger, kentang goreng dan minuman serta jaga betul-betul kualitinya.

 

Refleksi 

Setiap kali menikmati jalan cerita dalam filem, saya gemar mengambil isi pengajarannya dan reflek dengan kehidupan ini.

Filem ‘The Founder’ ini sarat dengan pengajaran terutama dalam kehidupan dan sepak terajang dunia bisnes.

Filem ini menekankan mesej bahawa bakat dan genius itu boleh jadi pemangkin dalam mengejar kejayaan namun apa yang lebih utama adalah ‘persistence’ atau ketekunan.

Saya juga belajar yang sekiranya mahu mengubah nasib diri, antara langkah pertama adalah ubah mindset dan sikap.

Saya teringat kata-kata seorang trainer semasa mengikuti satu kursus baru-baru ini, “Sekiranya menolak perubahan dan pembaharuan disebabkan oleh ego dan terlalu selesa, nanti ketinggalan. Jangan sampai berlaku sesuatu baru kita sibuk nak berubah.”

Demikianlah apa yang berlaku pada dua beradik pengasas asal McD dalam filem ni iaitu Dick and Mac. Mereka berbakat dalam mencipta idea dan mengurus restoran tapi lebih suka elak risiko dan play safe. Akhirnya mereka setuju untuk bekerjasama dengan Ray Kroc untuk buat francais tapi dengan syarat Ray tak boleh buat sebarang perubahan tanpa kebenaran mereka sebab takut rugi disebabkan oleh pengalaman sebelum ini.

Ray Kroc ini pula ada ambisi, misi dan visi yang tinggi untuk lihat McDonald’s ada di setiap ceruk negara. Dia gigih cari pelabur, pekerja dan pengurus bagi merealisasikan cita-cita itu. Banyak jugalah jatuh bangunnya seperti hampir tergadai rumah, dikejar bank, ragam manusia dan tidak dapat peratus bayaran setimpal dengan lelahnya walaupun restoran itu semakin berkembang.

Cadangannya untuk majukan lagi francais McD pula selalu ditolak mentah-mentah oleh dua beradik itu sebab mereka selesa dengan restoran burger kecil mereka di padang pasir itu.

Ray yang sudah buntu tak tahu nak buat apa dan jemu dengan fikiran tertutup mereka mula guna segala sumber yang dia ada dan bekerja lebih keras daripada orang lain untuk tubuhkan syarikat sendiri.

Pada masa itu, barulah dia sedar yang sekiranya mahu stabil dan duit mengalir masuk bukan sekadar cipta konsep francais makanan segera itu tetap dia kena secure juga dengan perniagaan hartanah. Dia sewakan tanah kepada franchisees yang nak buka perniagaan dengannya. Hari ini, McDonald’s merupakan antara syarikat hartanah terbesar di dunia selain empayar restoran makanan segeranya.

Dipendekkan cerita dengan spoiler, akhirnya dua beradik itu cuma dapat $2.7 juta dan kedai makan mereka sudah lagi tak boleh guna nama McDonald’s dan jatuh bankrap. Ray tikam belakang mereka dengan beli hak cipta dan eksklusif nama McDonald’s itu, dan cuma berjanji mulut untuk bagi royalti pada mereka.

Royalti pada masa kini dianggarkan bernilai $100 juta setahun. Sekiranya dua beradik itu ambil je Ray itu jadi business partner, mungkin dah jadi billionair tak habis makan 7 keturunan mereka sekarang. Begitulah bahayanya sekiranya tidak mahu cepat berubah, ego tak nak terima nasihat, tidak terbuka dan biarkan pesaing bekerja keras siang malam semasa kita sedang enak tidur. Allahu, insafnya saya!

Memang diakui sukar untuk mara ke depan bila bersikap begitu.

Salah satu ayat Ray yang saya rasa deep ialah dalam dunia perniagaan ini bukan hanya ada dog eat dog tetapi juga tikus makan tikus. Hampir tiada ruang untuk orang yang lembut dan lembik. Selain jadi baik, perlu juga jadi licik supaya tak kena makan.

Tapi nilai terbesar yang terpahat dalam fikiran saya setelah menonton cerita ini adalah ‘ketekunan’. Saya suka lihat bagaimana Ray berdepan dengan masalah dan tidak putus asa. Dia tidak elak sebaliknya kenal pasti punca dan solusi sampai isu selesai, belajar dan kaut keuntungan daripadanya.

Cerita ini turut mengajar saya bahawa usaha yang gigih dan berterusan Insya-Allah membuahkan hasil yang manis dan boleh pergi sangat jauh, dengan izin-Nya yang Maha Pemurah.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top