Piramid, Sepasang Mata Dalam Lukisan Dan Mesir

Tahun 2010

Ketika itu, saya pergi menunaikan umrah bersama keluarga. Dalam perjalanan ke tanah suci, kami bermusafir sekejap di Mesir untuk tiga hari.

“Tuan-tuan dan puan-puan, kita akan mendarat sebentar lagi…” hening pagi itu dipecahkan dengan corong suara pengumuman kru kabin.

Dari tingkap pesawat, saya melayangkan pandangan ke luar dan nampak padang pasir yang menghampar seperti karpet, menyelimuti bumi Anbia ini.

Usai keluar dari perut kapal terbang, kami beratur panjang untuk cop passport dan dokumen penting lain sambil lihat pramugari garang marah-marah sebelum ambil bagasi.

Di luar airport, bas pelancong yang disediakan dalam pakej setia menanti kami sekeluarga dan ahli rombongan lain.

Bas bergerak meninggalkan perkarangan lapangan terbang antarabangsa itu. Terus terang saya cakap KLIA seribu kali lagi cantik.

Akhirnya saya dapat menghirup udara Mesir. Ahlan wasahlan ilal Misr.

Kaherah, Mesir

Di dalam bas, rombongan diperkenalkan dengan pemandu pelancong dari negara Indonesia, Supardi (bukan nama sebenar).

Supardi sudah menetap selama lapan tahun di Mesir dan menuntut di Universiti Al-Azhar.

Supardi becok bercerita tentang Mesir termasuk bangunannya, penduduk, budaya dan sejarah seperti Wikipedia bergerak.

Ibu gigih mencatat butir-butir maklumat daripada Supardi sambil sekali-sekala menjeling tajam dan sound saya sebab tak bawa pen, buku catatan dan menulis sepertinya.

Ya, sesungguhnya saya menyesal tak amalkan sikap suka mencatat sejak remaja. Kalau saya rajin, entah sudah berapa ratus jilid isi hati saya bukukan sekarang.

Apa pun saya tetap bersyukur sebab dipinjamkan ingatan tentangnya oleh Tuhan.

Mesir telah mencatat banyak riwayat nabi-nabi dan menjadi saksi bisu banyak peristiwa dunia.

Bas kami menyelusur bandar Kaherah. Walaupun berpadang pasir yang tandus namun kehijauannya masih terserlah atas budi sungai Nil.

“Di sebelah kiri ini adalah Universiti Al-Azhar, salah sebuah universiti tertua di dunia. Universiti ini berpecah dua kampusnya untuk asingkan pelajar lelaki pelajar perempuan.” ujar Supardi.

Tanah Perkuburan di Mesir

Rumah-rumah di sini macam kotak-kotak dan bercat warna pasir dan kelabu. Ada bangunan berderet yang rupanya seperti rumah teres.

Dan saya tersentap apabila diberitahu rumah kotak-kotak itu sebenarnya adalah kubur orang-orang Mesir.

Jenazah atau mayat tidak ditanam di dalam tanah sebaliknya diletakkan di dalam bangunan seperti rumah itu.

Cukup masa, akan digantikan dengan mayat lain pula. Satu kotak rumah untuk satu keluarga.

Hal ini kerana tanah di Mesir sangat terhad, cukai melambung-lambung dan banyak rakyat Mesir hidup dalam kemiskinan dan daif.

Sumber pendapatan Mesir yang utama adalah pelancongan tapi kebanyakannya saya baca mungkin masuk ke dalam akaun penguasa yang korup. (Saya berada di sana setahun sebelum revolusi Mesir berlaku).

Bila tengok rumah kubur tu, saya teringat cerita ustazah graduate Mesir semasa dalam kelas.

Suatu ketika dahulu, ada seorang tukang masak yang sangat rajin baca dan hafaz Al-Quran.

Walaupun sudah 10 tahun meninggal, jenazahnya tak pernah mereput dan mendapat perhatian ramai sewaktu urusan pemindahan mayat dilakukan.

Lamunan saya terhenti apabila bas tiba-tiba berhenti.

Oh, sudah sampai rupanya.

Hotel 3 Bintang

Hotel kami betul-betul di tepi jalan raya dan nampak usang. Tapi bila masuk ke dalam, boleh tahan cantik.

Lif hotel itu yang seperti bakul yang memuatkan maksimum 3 orang dewasa dan ada pintu gate seperti dalam filem Jackie Chan menggamit perhatian saya.

Saya nak cuba main naik turun dalam lif yang pelik itu dengan adik saya, tapi saya takkan buat sebab saya dah besar, so kena behave.

Selepas sarapan dan dapat bilik masing-masing, kami pun masuk ke sarang bersama kunci yang diberi.

Hari itu kami rehat. Esok baru jalan-jalan.

Giza

Sebelum azan subuh berkumandang, saya dikejutkan dengan bunyi hon kenderaan yang menggantikan jam loceng.

Kota Kaherah seolah-olah tidak tahu tidur.

Kata Supardi, penduduk tempatan jarang keluar siang sebab cuaca panas, malam barulah mereka ber-night life.

Hari itu kami ke Giza, iaitu dunia akhirat bagi firaun-firaun zaman dulu.

Di situlah terletaknya salah sebuah Tujuh Keajaiban Dunia iaitu piramid.

Menurut cerita Supardi, Firaun pada zaman nabi Musa a.s adalah Ramses II, di mana kajian dan penemuan kandungan air laut dalam mumia Firaun itu membawa Dr Maurice Bucaille kepada Islam.

Zaman silam Mesir ada dirakamkan dalam kitab Al-Quran..

Sayang sekali, kehebatan mereka digunakan untuk melawan Allah.

Kuasa Allah, secerdik mana pun kaum tu, jika menyekutukan Allah tetap lenyap jua tamadun itu.

Pintu masuk ke dalam piramid ada luas lubang hidung dan perlu merangkak.

Orang tua-tua tak digalakkan masuk, bimbang tak keluar-keluar dah selepas itu sebab tersekat di dalamnya dan kekurangan oksigen.

Lagipun, pernah berlaku runtuhan di dalamnya. Polis yang berjaga pula sering mengangkat cota, cuba halau orang daripada masuk seperti hambat kambing.

Sudahnya, kami meninjau di luar saja. Tiada apa pun di dalam piramid itu sebab isinya sudah dipunggah ke muzium.

Saya rasa ralat sikit sebab muzium tiada dalam senarai destinasi kami. Saya nak tengok mumia yang pakai topi bersalut emas macam topi keledar tu.

Allah ilhamkan orang Mesir Purba ilmu pengawetan dan kimia, untuk kekalkan mayat firaun seperti yang dijanjikan-Nya.

Saya percaya ada hikmah Allah ‘simpan’ mayat firaun tu. Untuk manusia yang mahu berfikir..

Selepas melihat Sphinx, patung ukiran singa berkepala manusia, bas berhenti di kedai minyak wangi mewah kepunyaan keluarga Dodi Al-Fayed, kekasih mendiang Lady Diana.

Iskandariah (Alexandria)

Sesampainya di Alex, saya berasa seolah-olah berada di negara lain.

Jika Kaherah diselaputi debu dan panas, sini pula ada pemandangan laut jernih bak kristal dan udaranya nyaman.

Seni bina kawasan ini banyak dipengaruhi Yunani seingat saya.

Apa yang legend di tempat itu adalah rumah api dan perpustakaan pertama di dunia dengan beribu gulungan papyrus dan pernah melalui satu episod hitam dalam sejarah.

Sayangnya, perpustakaan itu tutup semasa kami pergi.

Walaupun tempat itu sangat cantik, maaf, tidak banyak yang saya ingat tentangnya.

Mungkin sebab sibuk ambil gambar posing poyo-poyo pakai cermin mata hitam di tepi Laut Mediterranean sampai lupa nak menghayati sekeliling.

Entah di mana tersimpannya gambar-gambar itu saya pun lupa.

Kubu Salahuddin Al-Ayyubi

Semasa dalam perjalanan balik ke Kaherah, saya nampak bangunan berupa kubu dan istana lama.

“Itu Kubu Salahuddin Al-Ayyubi.” ujar Supardi sekali gus menjawab persoalan dalam fikiran saya.

Seingat saya, Supardi ada cerita yang Salahuddin pernah pecahkan sedikit bongkah batu piramid untuk dijadikan kubu pertahanan bagi melindungi kota daripada serangan musuh.

Salahuddin merupakan salah seorang pahlawan Islam legend dan termasyhur di dunia sebab pernah mengalahkan tentera salib.

Esoknya kami singgah di situ. Kawasan di dalam kubu itu sangat besar, di dalamnya ada masjid dan istana.

Semasa masuk ke Istana, saya tertarik dengan sebuah lukisan seorang raja yang tersergam di singgahsana yang hiasannya berkonsepkan ala Barat itu.

Mungkin pelukis tersebut menerapkan ilusi optik sebab saya perhati sepasang mata raja dalam lukisan itu selalu mengekori langkah saya.

Bila saya bergerak ke kiri, ke kanan dan ke kiri balik, mata itu pun bergerak kiri- kanan- kiri.

Saya berbisik dekat adik fasal hal itu, sudahnya kami ke melompat ke kiri ke kanan bermain mata dengan raja itu sampailah kami terkejar-kejar ikut rombongan yang dah berlalu tinggalkan kami.

Sambil melawat istana itu, Supardi cerita serba sedikit tentang sejarah penghuni istana tersebut.

Pada zaman dahulu, seorang putera raja telah hilang. Sampai sekarang tak tahu ke mana menghilangnya. Dia seorang sahaja yang terselamat daripada diracun semasa acara makan malam.

Dengar cerita juga istana itu ada kira-kira 356 bilik untuk menempatkan 356 isteri raja. Fuh, setahun sekali baru dapat giliran.

Lambaian Sungai Nil

Malam terakhir kami di Mesir, kami di bawa ke restoran terapung di tepi sungai Nil untuk candle light dinner. Saya makan spaghetti dan daging puyuh dengan penuh berselera.

Kini saya tidak lagi menjamah hidangan burung tersebut.

Sebab semasa praktikal sembelihan dalam subjek Pendidikan Islam di sekolah, saya pernah ‘pancung’ kepala burung tersebut sampai putus sebab saya sembelih sambil tutup mata, tak sanggup nak tengok.

“Cuba lihat sana, itulah papyrus. Dari situlah orang Mesir Purba membuat kertas terlama dan tertua di dunia.” kata Supardi merujuk kepada tumbuhan meliar di tepi sungai yang saya sangkakan lalang.

Selain peristiwa Nabi Musa AS yang dihanyutkan di sungai Nil, saya teringat ada satu cerita menarik lagi yang dikisahkan oleh ustaz di sekolah saya dulu.

Pada zaman dahulu, semasa rombongan Sayidina Umar Al-Khattab berada di Sungai Nil, beliau terdengar teriakan seorang gadis.

Kemudian muncul la perarakan segerombolan manusia yang menjulang seorang perawan dalam keadaan terikat menghala ke sungai Nil.

Apabila Sayidina Umar bertanya nak buat apa tu, mereka jawab nak hantar korban kepada sungai Nil yang asyik kering kemarau itu.

Lalu Sayidina Umar mengutus surat kepada sungai Nil.

Wahai Sungai Nil,

Jika kamu takut kepada Allah, sila mengalir sekarang!

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi air deras mengalir membanjiri sungai yang dahulunya kering itu, orang-orang kampung bersorak hooray dan anak gadis tersebut terselamat daripada menjadi korban.

Saya ada cari juga kesahihan cerita popular ini, tapi tak jumpa. Banyak pendapat cakap ini tak sahih.

Bagaimanapun saya selitkan juga sebab kisah ini terlalu menarik untuk tak diceritakan.

Sayidina Umar ni, saya pernah baca yang beliau memang sangat digeruni, malah syaitan pun sangat takut dengan beliau.

Sekiranya Sayidina Umar lalu sini, syaitan akan lalu sana atau rela buat U-turn sebab tak nak terserempak.

Tahun 2020

Rupanya sudah lebih sedekad berlalu. Cebisan memori yang masih tersisa saya pahat dalam tulisan kali ini sebelum ia lupus buat selama-lamanya.

Image by Maryam62 from Pixabay

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top