Kisah Antara Jack Ma Dengan Internet

Hangzhou, China

1992

Chen sudah tiga tahun tamat Universiti dan tak tahu nak buat apa malam-malam. Suatu hari, dia terdengar ada kelas malam bahasa Inggeris di bandar itu. Chen pun mendaftar masuk kelas tu.

Pada hari pertama, Chen sampai awal ke kelas dan berkenalan dengan rakan-rakan sekelas. Ada pelajar sekolah menengah yang nak pergi belajar di oversea, ada pelajar kolej, pekerja kilang dan kebanyakannya graduan U seperti Chen.

Mana cikgu bahasa Inggeris ni? Tak sampai-sampai lagi. Chen dan kawan-kawan sekelasnya dah mula ingat kelas batal.

Beberapa minit kemudian, ada seorang lelaki bertubuh kecil dan kurus meluru ke podium. Kemudian lelaki itu bersuara di hadapan kelas,

“Okay kelas, topik hari ni tentang ‘Datang Lambat’. Saya paling benci datang lewat kerana ini menunjukkan kamu tidak menghormati masa orang lain, ibarat kamu sanggup membunuh untuk dapatkan duitnya…”

Semua pelajar tergelak mendengarnya. Guru itu meminta maaf dengan cara menyindir dirinya sendiri. Itulah Jack Ma.

1995

Suatu hari, Jack Ma menelefon Chen memintanya untuk berjumpa di rumah beliau. Jack Ma baru pulang dari Amerika Syarikat (AS) dan ada sesuatu yang penting mahu diberitahunya.

Chen bergegas ke rumah Jack Ma. Ramai orang memenuhi rumah Jack Ma, ada rakan-rakan sekelasnya dan juga muka-muka asing yang tidak dikenali.

Apa yang lebih mengejutkan Chen, kelihatan tubuh Jack Ma duduk mengerekot atas sofa siap berselimut. Apa dah jadi ni?

Jack Ma pun mula bercerita…

Ada sebuah syarikat dari luar negara datang ke Zhejiang untuk melabur bagi membina lebuh raya. Mereka ajak Jack Ma jadi penterjemah dan bawa beliau ke Las Vegas, AS. Jack rasa tak sedap hati…

Rupanya, mereka tu organisasi penipuan antarabangsa. Mereka suruh Jack jadi ‘saksi’ bagi beberapa tuntutan palsu. Kalau tak nak bekerjasama dan penipuan mereka terbongkar, Jack diugut tak boleh balik ke China dan harta bendanya turut ditahan.

Selepas melalui beberapa peristiwa yang dahsyat, akhirnya berjaya juga beliau melarikan diri cengkaman sindiket itu.

“Mereka tu syaitonnn!” Jack Ma asyik ulang ayat tu banyak kali dan masih duduk mengerekot berselimut atas sofa.

Para tetamu yang ada di situ tahu yang kemungkinan Jack sedang trauma.

Chen mula membayangkan sesuatu yang ekstrem misalnya masa sepucuk pistol diacukan kepala Jack, mungkin Jack mendapat keberanian tiba-tiba dengan menendang celah kangkang penjenayah tersebut seperti dalam movie. Siapa tahu?

***

Selepas melarikan diri, Jack tidak segera pulang ke China tapi terus terbang ke Seattle sebab kawannya pernah cerita fasal internet dan menantunya bekerja di satu-satunya syarikat rangkaian yang terletak di Seattle. Jack pergi Seattle untuk cari syarikat itu.

Bila sampai sana, kakitangan syarikat tu beritahu yang Jack boleh taip apa sahaja di komputer untuk cari maklumat. Jack pun try test tengok.

Jack menaip ‘beer’, lalu keluar ‘German beer, American beer dan Japanese beer’ tapi Chinese beer tak ada. Lepas tu dia cuba taip ‘China’ di kotak carian. Hasil carian hanya menunjukkan beberapa puluh perkataan yang memperkenalkan sejarah China.

Apa pun, Jack rasa wow sangat dengan pengalaman itu. Itu adalah saat eureka baginya.

Sejak hari itu, hampir setiap hari Chen kena tadah telinga dengar cerita fasal internet daripada Jack Ma. Bekas gurunya itu begitu obsess dengan internet, siap demo lagi macam mana nak guna internet.

Hari-hari Jack bercakap fasal internet tanpa jemu, penuh bersemangat siap dengan tangan kaki bergerak ikut gaya penceritaan.

Hubungan Jack dengan bekas pelajar-pelajarnya amat baik dan mereka selalu berjumpa.

“Saya nak buat bisnes internet dan ada apa-apa cadangan dari kamu semua?” Jack Ma mula berkongsi perancangan perniagaannya.

Krik, krik, krik… tiada respons daripada bekas pelajar-pelajarnya. Ada yang mengeluh, ada yang menggeleng kepala dan kelihatan ragu-ragu.

“Encik Ma, apa kata kalau encik Ma buat bisnes restoran ke, bar ke, pusat pengajian ke atau terus jadi guru? Apa-apa saja asalkan bukan yang ini. Perniagaan internet ni bukan tak ada masa depan dan tak okay. Cuma… konsep ini masih baru dan terlalu canggih. Orang China mesti tak berminat.” Salah seorang bekas pelajarnya bersuara.

Tapi Jack Ma is Jack Ma. Walau satu dunia membantah, dia tetap dengan pendiriannya. Sebelum ini, internet cuma dongengan sehinggalah dia sendiri dapat mengakses internet itu.

Jack sungguh teruja lalu membuka sebuah syarikat di China dalam pengkhususan Internet. Sekali lagi, dia terbang ke AS untuk mendaftarkan China Pages.

Jack turut melepaskan tugasan mengajar di Universiti (yang dianggap pekerjaan lumayan oleh orang ramai) bagi menceburi perniagaan. Walaupun dia teragak-teragak sebenarnya nak serahkan surat peletakan jawatan itu.

Suatu hari, dia terserempak dengan ketua jabatan di kampus. Masa tu, ketua tersebut sedang menunggang basikal, baru balik dari pasar. Ketua memanggil Jack untuk memberi sedikit nasihat.

“Saya nasihatkan kamu supaya terus berbakti sebagai guru bahasa Inggeris kerana ia menjanjikan masa depan yang cerah.” kata ketua jabatan sebelum pergi bersama dua bungkus sayuran tergantung di hendal basikal.

Melihat keadaan itu, Jack mula tersedar sesuatu dan nekad untuk berhenti kerja di Universiti itu. Dia tak mahu naik basikal sampai ke tua…

***

Semasa memulakan China Pages, Jack tak ada pelanggan pun jadi dia mula target pada rakan-rakan sekelilingnya. Jack memaparkan set TV 14 inci dan gambar Hotel Lakeview di Internet.

Tidak lama kemudian, Persidangan Dunia Wanita diadakan di Beijing. Mereka memilih untuk menginap di Hotel Lakeview, bukan hotel kelas pertama di Hangzhou. Apabila ditanya mengapa…

“Dah itu je maklumat hotel yang ada di Internet.” jawab mereka.

Permulaan selalunya menyakitkan. Pelanggan atas talian tak ramai ketika itu. Jack terpaksa buat semua benda masa tu. Dialah pengurus besar, pengiklan dan jurujual dari rumah ke rumah.

Chen, walaupun tak tau sangat fasal internet, tetap setia membantu Jack. Dia melihat dengan mata kepalanya sendiri jatuh bangun Jack membangunkan perniagaannya sampailah syarikatnya menjadi Alibaba Group Holding Ltd, sebuah syarikat e-dagang.

New York, AS

2014

Hari ini dalam sejarah. Jack Ma tiba di Bursa Saham New York (BSNY) pada awal pagi.

Walaupun awal pagi, pintu masuk BSNY dipenuhi orang ramai. Ada media massa dari seluruh dunia dan orang-orang awam. Polis-polis New York cuba mengawal keadaan. Ada juga pelanggan Alibaba dari China yang datang ke New York.

“Jack Ma! Jack Ma! Pandang sini! Pandang sini!” Mereka menjerit tak berhenti.

Seterusnya ketibaan rakan-rakan usahawan, pelabur yang diundang, rakan kongsi dan wakil pelanggan Alibaba tiba di ruang lapang di depan pintu masuk BSNY. Mereka saling bergambar, mengucapkan tahniah dan berasa sungguh teruja.

***

Selepas semua orang tiba di dewan yang paling mewah di New York itu, upacara menekan loceng dilakukan, menandakan urus niaga saham bermula. Satu dunia menonton siaran langsung tersebut.

Orang terlalu ramai nak beli, orang yang nak menjual pula kurang. Keadaan urus niaga tak seimbang. Saham Alibaba terus meningkat dengan cepat.

Sehingga pukul 11.58 pagi, harga saham Alibaba melebihi USD 92 juta satu saham dan urus niaga itu dikira berjaya. Jack Ma mengetuk loceng pakai pengetuk kayu apabila transaksi pertama selesai.

Semua orang bertepuk tangan.

Dengan rasminya, perniagaan Alibaba masuk dalam bursa saham New York dan berdiri sama tinggi dengan Facebook, Amazon dan eBay sebagai ‘raksasa’ dalam dunia online.

Oleh sebab baru berjaya disenaraikan dalam bursa saham, dengan harga saham yang lebih tinggi dari yang dijangka, media massa mula buat kira-kira harta Jack Ma dengan formula mereka sendiri.

***

“Saya tak minat la jadi orang kaya ni. Usahkan di dunia, orang terkaya di kampung pun saya tak mahu.” kata Jack pada Chen.

“Jack Ma, kalau tak mahu jadi orang ter-kaya di kampung, suruh orang paling kaya di dunia (lebih kaya dari Jack) duduk di kampung tu.” kata Chen cuba melawak.

“Dari dulu lagi saya percaya, internet ini akan mengubah dunia…” kata Jack Ma sebelum melambaikan tangan pada orang ramai.

Kuala Lumpur, Malaysia

2018

Saya menutup buku ‘Jack Ma Pengasas dan CEO Alibaba Group’ yang ditemui di dalam Perpustakaan Universiti Malaya ni. Sebenarnya nak cari buku lain, tapi lain buku yang saya jumpa.

Biografi ini ditulis oleh Chen Wei, pembantu Jack Ma. Hmm, macam menarik. Sambil-sambil duduk membeku dalam library yang sejuk tu, saya baca lagi sampai faham dan tulis balik apa yang difahami itu dengan stail sendiri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top