Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Saya nak cerita serba sikit pengalaman saya sepanjang tiga tahun (2013-2016) menuntut ilmu oseanografi atau sains marin di Universiti Malaysia Terengganu ini.
Dalam lebih 30 juta rakyat Malaysia ni, mesti ada seorang dua yang tengah gigih Google pasal kos sains marin, terutama yang lepasan SPM, STPM, Matriks, asasi, dan diploma. Macam saya dulu-dulu.
Semasa mula-mula dapat kos ini, ramai (saudara mara, kawan-kawan, cikgu-cikgu sekolah lama) terkejut tau. Mungkin sebab saya nampak lemah lembut. Sekali dapat kos boleh tahan brutal selepas tamat program asasi sains di UiTM.
Saya bukanlah jenis lasak, tapi saya suka benda pelik-pelik dan bagi saya bidang ini unik. Oleh sebab saya quite rebellious, nak lain dari yang lain dan tak nak sama dengan orang lain, maka saya pun pilihlah bidang yang dianggap rare ini.
Apa itu Sains Marin?
Sains marin, sains samudera, sains laut atau oseanografi. Tengok nama pun dah tahu yang bidang ini berkaitan dengan laut tapi dari segi sains. Sains marin ini dipecahkan banyak cabang seperti biologi marin, geologi marin, fizik marin, dan kimia marin.
Kalau level undergrad, semua ini kena belajar tapi secara asas. Sekiranya nak expert atau pakar dalam salah satu bidang ni, boleh sambung belajar ke peringkat master, PhD, postdoc sampai jadi professor.
Perbezaan kos sains marin dan biologi marin
Di UMT, kos sains marin ada adik tiri yang bernama kos biologi marin. Dua kos ini nampak sama tapi tak serupa sebab sains marin belajar segala-galanya tentang laut dari ombak, sedimen, pantai dan hidupan laut. Manakala biologi marin lebih kepada kajian hidupan laut dari sekecil-kecil plankton sehinggalah sebesar ikan paus.
Apa yang best pasal kos ini?
Mestilah field trip atau kerja lapangan. Dah belajar pasal laut, takkan tak turun laut kan? Boleh dikatakan setiap subjek ada aktiviti luar dan lawatan kalau ada bajet.
Pergi pulau-pulau, pantai-pantai, redah hutan paya bakau, naik turun bot dengan kapal, snorkelling, menyelam skuba, check terumbu karang sihat ke tak, dan masalah laut sedunia menjadi ‘makanan’ saya sepanjang bergelar pelajar jurusan sains marin.
Kalau tak reti berenang, jangan risau sebab mengikut pengalaman saya, bukan semua course mates saya yang reti berenang.
Ini antara field trips pernah kami pergi. Biar gambar yang bercerita pula:
1. Pulau Bidong
Seingat saya, masa tahun 2 pelajar wajib pergi sampling ke Pulau Bidong. Kami berkampung selama hampir seminggu di sana. Sekiranya ada lesen skuba, boleh menyelam di situ. Lepas kumpul bahan kajian dan data, balik tu kena analisis dan buat report.
2. Larut Matang, Perak
Kami belajar fasal hutan bakau dan get the real experiences di sana. Seronok. Kalau rajin saya cerita lagi dalam post lain.
3. Pulau Kapas
Salah satu subjek kegemaran saya, marine biodiversity & conservation ada buat field trip ke Pulau Kapas. Antara aktiviti yang saya ingat buat di sana adalah bird-watching dan snorkelling untuk check terumbu karang.
4. Di Pantai Penarik- Hatcheri Anak Penyu WWF
Subjek marine biodiversity & conservation ini memang banyak berjalan. Di Pantai Penarik, Setiu, ada pondok kecil warna biru. Ia adalah sanctuary penyu yang WWF punya. Di situ ada telur penyu dan anak-anak penyu yang baru menetas. Pengurusnya adalah kak Naja, salah seorang bekas pelajar UMT dan sangat ramah orangnya.
5. 10 Pantai di seluruh Terengganu
Semasa ambil subjek coastal, kami naik bas pergi 10 pantai satu Terengganu dari pantai Kemaman, Bukit Keluang dan Pantai Batu Buruk.
6. Naik Kapal RV Discovery
RV Discovery ini merupakan kapal rasmi UMT. Masa tahun akhir, lecturer bawa pusing-pusing keliling laut naik kapal ni. Kalau bernasib baik, boleh nampak kelibat ikan lumba-lumba di tengah laut. Ada dolphin? Ya, di mana ada laut di situ ada dolphin.
*Kredit foto-foto: Mimi Aina, Izzuan Tajudin dan Nurul Syafiqah
Apa yang tunjuk di atas adalah secara umum dan berdasarkan pengalaman peribadi sepanjang zaman ijazah pertama dulu di UMT.
Selepas belajar sains marin, saya cuba belajar bersyukur pula sebab dikurniakan pengalaman hidup yang menarik dan best. Saya happy je sepanjang belajar. Belajar pun tak ada la susah mana, macam pergi holiday. Momen manis adalah kenangan bersama kawan-kawan, dapat dekan, terjun ke dalam laut.
Kalau ada yang tertanya-tanya, apa peluang kerjaya bidang sains marin ini, boleh klik sini. Sepanjang belajar tiga tahun ini, saya perasan yang kami dilatih untuk jadi penyelidik atau saintis. Tapi tak semestinya jadi saintis. Kalau anda kreatif lagi inovatif, banyak lagi karier berkaitan dengan laut yang menunggu untuk diterokai dan dicipta.
Cuma terus terang cakap, kerjaya dalam bidang ini agak terhad dan lari bidang semasa kerja itu normal. Negara kita dikelilingi laut tapi sejauh mana orang kita menghargainya?
Entahlah, saya rasa mana-mana bidang sains pun terima nasib yang sama. Negara kita tidak begitu bersedia dengan sains, teknologi, engineering dan technology (STEM) industry.
Sektor Research &Development (R&D) masih dipandang enteng. Negara lain terutama negara-negara maju, sangat jaga R&D ni untuk buat inovasi dan menyumbang sesuatu kepada negara sendiri dan dunia.
Kalau boleh, belajar jangan semata-mata untuk pencapaian diri sendiri saja tapi belajarlah kerana nak dekat dengan Allah, melihat kebesaran-Nya. Dan memberi manfaat kepada orang ramai kerana itulah sebaik-baik manusia. Itu apa yang Nabi s.a.w. pernah pesan.
Kalau anda belajar sebab nak kerja semata-mata, saya nasihatkan anda cari bidang yang luas peluang kerja macam marketing ke, bisnes ke, IT ke. Yang itu, bersepah kerja kosong di website Jobstreet.
Tapi kalau anda belajar sebab nak ilmu dan mengaplikasikannya, I wish all the best. Sebenarnya, tak ada ilmu yang sia-sia walau apa pun bidang yang kita ambil cuma terserah kepada kita untuk memilih sebab hidup ini ada pilihan.
Kalau kisah saya, lepas grad saya gamble lari bidang buat master of arts pula di Universiti Malaya sebab saya bukanlah orangnya yang jenis setia pada satu bidang sampai mati dan saya suka teroka macam-macam perkara lagi. Kini sedang mengusahakan produk-produk digital sebagai sumber pendapatan.
Apa pun, tahniah kepada sesiapa yang dapat tawaran ke UMT dalam jurusan sains marin. Mungkin ada yang menangis sedih bila dapat kos ini, sebab bukan kos pilihan atau pilihan terakhir dalam borang UPU. Lap air mata dengan hingus tu dan teruskan hidup.
Percayalah, apa yang kita dapat tu mesti terbaik untuk kita. Kalau tak dapat apa yang disukai, cubalah suka dengan apa yang kita dapat. Ramai je yang tak minat mula-mula tapi akhirnya jadi pelajar terbaik. Dan ada yang dapat kerja bagus-bagus.
Mungkin juga ada yang sedih, kecewa, rendah diri dan cemburu kerana rakan-rakan mendapat kos dan universiti yang lebih glamour pada pandangan masyarakat. Setiap orang mempunyai jalan hidup dan takdir yang berbeza. Kita mampu merancang tapi jangan lupa, perancangan Allah selamanya yang terbaik.
Lagi artikel berkaitan
Assalamualaikum kak. Saya tengah mengisi upu sekarang. Saya rasa nak betul isi sains marin yang pertama. Tapi saya takut pasal pasaran kerjaya dia.. Pekerjaan dia under kerajaan tak? Tolonglah jawab kak..
Waalaikumussalam Naura, okay berdasarkan pengalaman saya, kos ini bagi saya menarik tapi bab pasaran kerja ini terpulang kepada awak nak mencorakkan macam mana nanti. Rata-rata alumni dalam bidang ini saya tengok ada yang jadi researcher, pensyarah. penyelam, NGO macam aktivis alam sekitar ke, pegawai di bahagian maritim dll. Under kerajaan pun ada, cuma saya rasa tak banyak sangat. Saya sendiri jadi content writer, dan sedang usahakan buat portal artikel tentang laut sebab masih sayangkan ilmu-ilmu sains marin walaupun saya teroka bidang baru sekarang. Terus terang cakap, walaupun peluang kerjaya dalam bidang ni agak terhad, saya sikit pun tak menyesal pilih sebab kos ni memang best giler.
Assalamualaikum Kak,
Saya Hairil, ASiDian Science Student juga,
Saya nak tanya, berdasarkan pengalaman kakak, ada tak subjek atau mana-mana topik yang susah untuk dihadam oleh pelajar. Kalau tiada, ada tak siapa-siapa kawan kakak yang mengalami kesukaran dalam subjek-subjek tertentu dalam bidang ini?
Waalaikumussalam Hairil, subjek yang saya rasa susah dan tak berapa minat adalah remote sensing iaitu belajar satelit dan pemetaan sebab tak berapa minat dengan komputer. Tapi subjek ni sebenarnya menarik dan berguna contohnya nak cari kapal terbang dalam laut ke, tengok suhu air laut dan pemetaan kawasan. Ada senior saya dia buat research dalam bidang ni dan dia guna drone, interesting kan? Macam nilah, in case kalau Hairil rasa susah atau tak minat sesuatu subjek tu, cuba cari apa faedah dan kegunaan belajar subjek tu dan kaitkan dengan kehidupan atau isu semasa.
Mantap ahhh Naura, Chill saya pun sama apply course ni, seba bukan saya expect keseronokan tau,(tapi tu bonus la) akan tetapi, saya cenderung and minat sangat nak belajar secara detail dan terperinci pasal hidupan laut dan tentang laut itu tersendiri.
Assalamualaikum Kak,
Saya Hairil, ASiDian Science Student juga,
Saya nak tanya, berdasarkan pengalaman kakak, ada tak subjek atau mana-mana topik yang susah untuk dihadam oleh pelajar. Kalau tiada, ada tak siapa-siapa kawan kakak yang mengalami kesukaran dalam subjek-subjek tertentu dalam bidang ini?
Saye nak tanye subjek ape kena score spm untuk sampai ke bidang ni ?
Subjek matematik, sains, fizik, kimia dan biologi
AsSalamualaikum Kak. Kalau orang yang mabuk laut sesuai ke ambil course ni? saya duk atas air takde apa2 tak muntah pun tapi bila balik ke darat,jalan terhuyung-hayang
Waalaikumussalam Nur, sorry lambat reply. Boleh je ambil, kalau rasa mabuk, muntah je
Assalamualaikum, semester lepas saya berpeluang pergi kajian lapangan ke Pulau Bidong
Saya amat bersyukur kerana di masa pandemik ini saya berpeluang untuk pergi ke sana. Senior saya tidak bernasib baik kerana waktu mereka dahulu mereka perlu belajar di rumah (ODL). Saya amat bersyukur kerana dahulu saya hanya membaca blog ini, tetapi sekarang saya merasai pengalaman cik/puan juga. Kapal RV Discovery pun saya naik sampai ke dek kapten dan membuat tour juga. Pengalaman yang tidak saya lupakan. Terima kasih cik/puan kerana mewujudkan blog ini dan menjadi inspirasi saya dari dahulu hingga sekarang.
Waalaikumussalam, maaf lambat reply. Saya pun terharu baca komen ini, telamat maju jaya Syazwina. Terima kasih kerana sudi singgah dan baca blog ini
Assalamualaikum , saya tengah isi UPU and nk tanya apa beza dan banyak ke perbezaan antara 2 kos ni, kos sains marin dan sains laut ye sbb still confuse?
Waalaikumussalam, sains laut tu di UKM ke? Tiada beza rasanya
Assalamualaikum, saya nk tanya apa beza kos sains marin dan sains laut banyak tak perbezaan antara 2 kos ni? sebab saya tengah isi UPU and still confuse nk pilih.
Waalaikumussalam, sains laut UKM ke? Tiada beza rasanya
Assalammualaikum.. untuk kos sains marin ini, dekat UMT belajar dalam Bahasa Melayu atau English?
Waalaimussalam, campur-campur, belajar dalam bahasa Melayu dan Inggeris
kalau amik diploma akuakultur boleh ke sambung ijazah nanti sains marin
Lecturer saya cakap boleh je
salam nak tanye ade tak biasiswa yang ade support for sains marin selain ptptn
Waalaikumussalam. Ada biasiswa JPA, kena selalu skor exam untuk memohonnya. Ptptn pun boleh bertukar jadi biasiswa kalau dapat first class degree. Kuncinya belajar sungguh2 ya
Hi kak, adake bayaran khas untuk setiap kajian lapangan ni?
Hi Gayathri. Zaman saya dulu ada yang kena bayar sikit, ada yang free
Assalamualaikum kak..saya nak tanya…kalau ambik account..boleh ke ambik bidang ni?..atau saya kena jugak ambik science stream…sbb saya takut tak boleh carry addmath
Waalaikumussalam Sarah, setahu saya kos sains marin ini untuk science stream. Saya rasa masuk kelas akaun pun kena belajar juga addmath, subjek ni penting sebab kat kolej/U nanti pun matematik dia macam addmath.
Jika dah masuk aliran akaun/sastera, masih boleh belajar berkaitan laut di U nanti contohnya kos pelancongan marin, ekonomi berkaitan marine resources, polisi marin atau maritime management.