Bayangkan, anda berada di tengah-tengah kota larangan istana China pada zaman lampau di mana berlakunya kemelut politik, fitnah dan perebutan kuasa.

Di suatu sudut, anda nampak seorang tabib wanita muda sedang membelek akar, daun dan herba, meracik ramuan dan mencari penawar racun kerana kadang ilmu kimia dan perubatan pun boleh jadi senjata politik (poisoning cases).
Begitulah bagaimana saya dan adik mengikuti Maomao, watak utama siri anime ‘The Apothecary Diaries’ dan merupakan seorang dayang istana yang dalam diam sebenarnya ahli farmasi berlatarkan era Dinasti Tang.
Skop kerja Maomao bertambah bila kena jadi detektif juga bagi merungkai kes di sebalik penyakit aneh dan kematian misteri keluarga diraja dan penghuni istana.

Anime ini memaparkan banyak teknik herbalism dan senarai bahan ubatan yang berasaskan teori perubatan tradisional China. Penonton dapat lihat bagaimana diagnosis dilakukan melalui pemerhatian warna kulit, lidah, nadi, dan bau.
Turut digambarkan bagaimana tumbuhan, rempah, dan bahan dari serata dunia yang dibawa masuk melalui Silk Road dan aktiviti perdagangan. Kita boleh nampak bagaimana pertembungan budaya mempengaruhi resepi ubat, makanan, dan kosmetik istana pada zaman itu.
Saya tertarik bagaimana ilmu alam disebarkan secara halus melalui ‘pop culture’ seperti anime ini. Ia mengangkat unsur etnobotani, iaitu kajian interaksi antara manusia dengan tumbuhan misalnya untuk kegunaan perubatan, makanan, kraftangan dan budaya.
Maomao, memiliki pengetahuan luas tentang farmakologi, tumbuhan dan khasiatnya menjadi elemen penting dalam jalan cerita dia menggunakan kemahirannya untuk menyelesaikan misteri dan isu yang kompleks di dalam istana diraja.
Hal ini memancing minat saya untuk membuat pembacaan lanjut mengenai ‘China’s apothecaries’ ini.
Sejarah Perubatan Tradisional China
Sehingga kini, kedai-kedai ubat tradisional masih berdiri utuh di China yang jual ginseng, bunga-bungaan dan herba-herba lain. Menurut National Geographic, diceritakan terdapat juga bahan pelik-pelik di dalam balang kaca seperti tenggiling, sarang tebuan, kuda laut kering malah tali pusat manusia!
Sejak ribuan tahun dulu, para tabib tradisional China telah mengumpul bahan-bahan alam semula jadi ini untuk digunakan dalam perubatan. Mereka menguji pelbagai bahan ini sama ada terhadap diri sendiri atau pesakit, meneliti kesannya dan merekodkannya.

Formula yang terhasil disimpan dan diwariskan dari generasi ke generasi, dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Ilmu ini bertahan lama sebab mereka simpan dalam rekod bertulis menerusi manuskrip dan buku.
Difahamkan para pengkaji termasuk dari universiti ternama dunia seperti Yale, UCLA dan Oxford memahirkan diri dalam bahasa Cina klasik bagi meneliti manuskrip-manuskrip kuno tersebut. Kerana pengetahuan tradisi dan formula herba purba ini telah memberi inspirasi kepada rawatan kanser apabila selari dengan kajian sains moden.

Penceritaan anime dan artikel ini memberi gambaran bahawa sains perubatan ini melalui sejarah yang panjang dan berkembang melalui proses cuba, gagal, belajar, dan memperbaiki walaupun kadang-kadang risikonya tinggi terhadap nyawa.
Sejak zaman berzaman lagi perubatan tradisional kekal sebagai bentuk industri kesihatan di China, sehinggalah pada abad ke-20, apabila maharaja terakhir Dinasti Qing digulingkan oleh Sun Yat-sen, seorang doktor bertauliah asuhan Barat yang mempromosikan sains perubatan moden.
Kini doktor di China dilatih dan diberi lesen mengikut amalan perubatan terkini. Namun, perubatan tradisional masih menjadi bahagian penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara. Kebanyakan hospital di China mempunyai wad yang khusus untuk rawatan tradisional.
Potensi perubatan tradisional masih ditekankan di negara itu dan mendapat sokongan Presiden bagi mengurangkan kos, menghasilkan rawatan inovatif, dan mengharumkan nama negara. Permintaan terhadap sumber dan kaedah perubatan ini dari seluruh dunia tinggi, nilainya billion dollar.
Sumber Bahan dan Konflik dengan Alam
Beberapa ramuan dalam perubatan tradisional China (TCM) masih menggunakan bahagian tubuh haiwan seperti tanduk badak sumbu, hempedu beruang, tulang harimau, sisik trenggiling, dan gading gajah kerana dipercayai berkhasiat dan boleh merawat penyakit.
Permintaan berterusan terhadap bahan haiwan ini telah mendorong pemburuan haram termasuk di Asia Tenggara yang menyebabkan populasi spesies terancam menurun dengan mendadak.
Keadaan ini mewujudkan konflik antara usaha memelihara biodiversiti dan amalan tradisi yang masih diamalkan oleh sebahagian pengamal serta pengguna TCM.
Seiring dengan kesedaran terhadap isu ini, beberapa negara mula mencari alternatif mesra alam seperti bahan sintetik atau pengganti berasaskan herba bagi menggantikan sumber daripada haiwan.
‘Pulang ke Tanah Air’
Jauh juga kita berkelana, dari skrin anime ke luar skrin. Terima kasih sudi baca sampai habis.
Saya pernah ternampak poster penganjuran bengkel teknik penelitian manuskrip Melayu lama dalam tulisan Jawi oleh FRIM. Isinya menarik kerana menyentuh tentang ilmu lama-lama orang Melayu berkenaan medicinal plants. Mungkin banyak lagi traditional knowledge yang kita tak tahu dan belum didokumentasikan.
Pengalaman melihat, mendengar dan membaca kisah-kisah seperti ini mengingatkan saya bahawa storytelling dan pop culture seperti anime boleh menjadi pintu masuk kepada kesedaran awam terutamanya bagi golongan muda.
Walaupun bermula dari kisah fiksyen ia boleh membawa kita menyelami topik sebenar yang luas daripada etnobotani, sejarah perubatan hingga isu pemuliharaan alam.
Dalam buku-buku ilmiah atau novel yang saya baca, sumber alam seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan sering menjadi nadi dalam naratif sejarah ekonomi, perubatan, penjajahan dan penjelajahan. Sama ada dalam bentuk ramuan ubat, komoditi perdagangan atau simbol kuasa, sumber alam sentiasa menjadi penggerak cerita manusia.
Saya percaya selama kita terus membaca, menonton dan bertanya, kita akan terus menemui kaitan halus antara alam, budaya dan sejarah dalam kehidupan kita hari ini.

