Setelah dua dekad berlalunya tsunami, sekali lagi Aceh dihurung duka menjelang hujung tahun.
Kali ini air yang mengamuk bukan dari laut, sebaliknya dari darat, hutan-hutan gunung. Airnya tidak tahu ke mana harus bertempiaran lari kerana ia tidak lagi mengenali akar-akar pokok sejati yang selama ini menjadi tempat ia bernaung dan didiami.
Pokok-pokok itu terkorban di tangan manusia, dengan mesin-mesin dan traktor jentolak yang membingitkan telinga para penghuni hutan. Landskap hutan bertukar wajah menjadi ladang pokok sawit, yang kapasiti akarnya tidak mampu menanggung limpahan air.
Lantas si air mara menuju ke penempatan manusia setelah mendapat restu dari langit.
“Makhluk yang diciptakan dari tanah ini harus diajar dengan tanah jua!” gegak gempitanya menghentam manusia terdekat, seakan-akan tidak lagi mampu menahan amarah yang membuak-buak.
Ia membawa lumpur dan balak, meruntuhkan tanah sebagai peringatan kepada manusia agar sedar diri.
Namun mengapa nyawa manusia berstatus rakyat marhaen yang menjadi galang ganti kepada amukan alam ini?
Itulah persoalan yang berlegar di Internet tentang bencana banjir di Sumatera, Indonesia. Dengar khabar, keadaan di utara Aceh paling teruk, ditambah pula dengan label ‘Anak Tiri Kerajaan’ kerana keinginan mereka untuk merdeka.
Lebih mengerikan, dua buah kampung terpadam terus dari peta setelah dirodok banjir lumpur. Angka korban kini mencecah ribuan nyawa, manakala ratusan lagi masih hilang. Lebih menyayat hati apabila malam-malam terdengar suara meminta tolong dari sebalik timbunan kayu balak dan runtuhan rumah.
Apa yang menyedihkan, kampung halaman Buya Hamka di Padang, yang saya lawati bersama ibu, ayah dan kumpulan Jejak Tarbiah (JT) tahun lalu, turut ditimpa bencana seperti di Aceh. Sumber makanan mereka ranap.
Pihak Pertubuhan JT ada mengadakan kutipan sumbangan untuk disalurkan terus kepada wakil mangsa banjir di Sumatera.
Menurut beberapa sumber berita, terutamanya Jabatan Penyiaran Malaysia, punca utama bencana ini ialah kegiatan pembalakan dan penerokaan sumber asli yang berleluasa. Dalangnya didakwa kapitalis serakah dengan persetujuan pihak penguasa yang korup dan rakus. Hal ini sudah menjadi rahsia umum di seberang sana.
Bagi mempertahankan maruah (atau mungkin ego), pihak penguasa menangguhkan bantuan asing. Bantuan beras sebanyak 30 tan daripada negara UAE dipulangkan semula, sedangkan rakyat mereka merayu meminta pertolongan.
Wartawan penyiaran CNN Indonesia sendiri menangis teresak-esak sewaktu buat liputan di lokasi kejadian, mengenangkan anak-anak di sana yang tidak dapat makan dan terputus akses bantuan.
Masa kecil-kecil dahulu, kita disajikan dengan Ultraman dan Power Rangers yang berjuang melindungi bumi daripada alien dan raksasa di kaca televisyen. Ternyata, yang paling banyak merosakkan muka bumi ialah tangan-tangan manusia itu sendiri, seperti yang difirmankan Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41.
Iktibar Kepada Rakyat Malaysia
Malaysia sering berasa selamat daripada bencana alam berskala besar kerana kedudukan geografinya. Angin dan gelombang ganas dari Lautan Hindi sudah diperlahankan oleh daratan Indonesia sebelum sampai ke sini. Seakan-akan kita berlindung di sebalik tembok semula jadi yang bernama negara jiran.
Namun rasa selamat dan selesa ini mungkin palsu.
Semasa melalui laluan Gua Musang ke Cameron Highlands, van kami kerap berpapasan dengan lori-lori balak. Kini kedengaran pula cerita tentang penerokaan hutan untuk emas dan sumber nadir bumi (REE). Landskap yang sama sedang diulang, hanya dengan alasan ekonomi yang berbeza.
Apa yang berlaku di Sumatera dan Aceh bukan kejadian terpencil, tetapi cerminan masa depan jika hutan terus diperlakukan sebagai komoditi semata-mata.
Saintis telah memberi amaran tentang perubahan iklim sejak dekad 1970-an.
Masih terngiang-ngiang kata-kata pensyarah saya suatu ketika dahulu di makmal,
“Kehancuran bumi seperti zaman dinosaur akan dipercepatkan oleh climate change.”
Ironinya, subjek yang diajar ialah terumbu karang. Dari situ saya belajar bahawa laut, darat, geologi dan meteorologi saling berkait dan tidak terpisah.
Dalam ruang maya, ada suara yang mengatakan tidak perlu jauh-jauh membantu mangsa banjir di Indonesia. Cukuplah bantu di kampung halaman sendiri.
“Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan,” kata mereka.
Dari situ saya sedar, kadang-kadang ignorance is bliss, dan kadang-kadang ia juga boleh menjadi ibliss.
Dalam dunia ledakan informasi ini, tidak dinafikan terlalu banyak berita dan tragedi yang membanjiri deria, hingga otak jadi letih dan overstimulated, sampai ada rasa ingin menutup mata dan telinga daripada semuanya.
Tetapi pada masa yang sama, rasa tak boleh nak berpura-pura perkara itu tiada kaitan dengan kita. Bergaduh sakan di alam siber soal ‘claim’ pun, mereka tetap saudara serumpun dan ada yang seagama kita.
Saya juga nampak politik, ekonomi, sosial dan alam sebagai satu kitaran yang tidak boleh dipisahkan. Politik membentuk dasar, dasar membentuk ekonomi, ekonomi mempengaruhi kesejahteraan sosial, dan alam menjadi sumber yang menanggung semuanya. Apabila ketamakan menguasai satu titik dalam kitaran ini, keseluruhannya boleh runtuh.
Dulu saya malas ambil tahu soal politik. Terlalu banyak drama, dan kenyataan yang tak berapa cerdik daripada pemain politik sampai rasa bacaan tekanan darah boleh meroket naik kalau layan. Rasa baik hidup dalam dunia sendiri sajalah. Tapi…
Hakikatnya, Malaysia ialah negara demokrasi. Setiap dasar bermula daripada pemilihan pemimpin, dan pemilihan itu bermula daripada tangan kita sendiri.
Pemimpin yang baik lahir daripada rakyat yang berfikir. Rakyat yang berfikir pula lahir daripada pendidikan, bukan sekadar di bangku sekolah atau universiti, tetapi melalui pembelajaran sepanjang hayat.
Masyarakat perlu belajar menilai pemimpin, polisi dan dasar secara kritis, bukan sekadar setia pada parti atau retorik. Kerana di sebalik setiap keputusan pembangunan, sentiasa ada kemungkinan tersirat sama ada kesejahteraan atau bala yang sedang ditanam.

