Yang Tidak Lagi Disimpan

Anne tahu hidupnya belum beres.

Di sudut almari, terselit sehelai gaun pengantin yang lama terbiar. Kainnya masih tersusun, seolah-olah tidak pernah dipakai untuk kegembiraan.

Dengan tangan yang sedikit menggeletar, Anne melipat gaun itu, menyimpannya ke dalam beg sebelum dihantar ke pusat pengumpulan pakaian terpakai.

Selesai sesi spring cleaning, rumah itu terasa lebih lengang, namun hatinya lebih ringan.

Ada sesuatu yang dilepaskan, walaupun Anne tidak pasti bila tepatnya ia mula membelenggu dirinya. Barangkali selama ini bukan gaun itu yang disimpannya, tetapi sebuah luka silam yang enggan pergi.

Kata orang, almari pakaian bukan sekadar tempat menyimpan baju tetapi juga sebuah arkib memori termasuk serpihan harapan yang kini terkubur dalam lipatan sejarah peribadinya. Yang tertinggal hanyalah ingatan dan pengajaran dari masa lalu.

Hari-hari selepas itu, Anne membenarkan dirinya mencuba perkara baharu. Antaranya, kelas tarian tango. Langkah pertamanya kaku, rentaknya sering tersalah. Namun perlahan-lahan, dia belajar berdiri seimbang, mempercayai gerak, dan membiarkan dirinya dipimpin tanpa rasa takut.

Di kelas itu, Anne bertemu seseorang. Bukan sebagai pengganti, dan bukan juga hero penyelamat. Hanya sebuah pertemuan kecil yang mengajarnya bahawa hati, seperti tubuh, boleh belajar bergerak semula. Setelah sekian lama separuh jiwanya lumpuh kerana pernah ditinggalkan oleh bekas tunangnya, sehari sebelum hari perkahwinan demi perempuan lain.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top