Pernah tak rasa terbelenggu dalam hidup sendiri?
Kadangkala puncanya bukanlah satu perkara besar, tetapi himpunan kecil yang menyesakkan seperti rumah penuh barang, telefon sarat notifikasi dan jadual hidup terlalu padat dengan komitmen.
Menjelang hujung tahun, saya pilih untuk slow down seketika dan mengaudit diri. Saya menilai semula arah hidup, potensi, perhubungan dan barangan dimiliki serta perniagaan yang sedang diusahakan melalui pembacaan, penulisan dan refleksi yang perlahan.
Musim hujan di Terengganu lazimnya menjadi fasa ‘hibernasi’ yang bermakna buat saya. Saya banyak memencilkan diri di home office merangkap perpustakaan peribadi. Mungkin bagi orang lain caranya berbeza, tetapi bagi saya, inilah ruang untuk menjimatkan tenaga dan bateri sosial sebelum kembali sibuk dengan aktiviti luar tahun hadapan, insya-Allah.
Saat artikel ini ditulis, hanya berbaki beberapa hari saja lagi sebelum tirai 2025 ditutup. Tahun baru sering dikaitkan dengan azam baru, namun saya makin sedar bahawa keazaman tak perlu tunggu tarikh tertentu. Ia boleh dimulakan sekarang, dengan usaha kecil tapi konsisten.
Antara keazaman saya ketika ini adalah untuk close the loops dalam hidup. Buku-buku di atas rak perlu dibaca, perniagaan sedia ada perlu difokuskan, blog perlu terus dikemas kini dan masa perlu lebih banyak dilaburkan kepada projek kreatif yang benar-benar saya cintai.
Daripada sesi audit inilah saya mula sedar bahawa kadang kekusutan hidup sering bermula daripada perkara yang kita simpan terlalu lama, baik dalam bentuk barang, emosi mahupun dunia digital.
Bila Barang Jadi Beban Emosi
Saya membesar dalam persekitaran rumah yang sentiasa penuh dengan barang. Pantang ada ruang kosong, pasti akan terisi dengan sesuatu. Almari penuh, rak bertambah, sudut yang asalnya lapang perlahan-lahan berubah menjadi tempat menyimpan.
Sebahagiannya datang daripada tabiat membeli-belah dalam talian yang kini semakin rancak dengan pelbagai platform e-dagang. Ada yang hasil ‘menyelam’ di kedai bundle, dan ada juga yang lahir daripada kecenderungan menyimpan barang lama atas nama nilai sentimental.
Ibu saya, misalnya, menyimpan ratusan pen yang dikumpul sejak zaman belajar dan awal kerjayanya kerana pen-pen itu pernah menemani satu fasa penting dalam hidupnya. Ayah pula sering mengutip semula pakaian dan beg lama yang ingin saya singkirkan.
“Kita kena pakai atau guna barang ini sampai hancur.” katanya.
Baru kini saya sedar bahawa amalan ‘reuse’ sebenarnya sudah lama tertanam dalam family tree keluarga saya. Sewaktu kecil, terdapat sebuah rumah stor besar di sebelah rumah arwah nenek. Tiada siapa berani masuk kerana bimbang ada ular bersarang. Di dalamnya tersimpan pelbagai barangan lama yang hari ini mungkin mempunyai nilai sejarah, malah muzium.
Kini makcik saya bukan sahaja mewarisi rumah pusaka itu, tetapi juga sifat berjimat nenek saya. Lidi sate tidak dibuang, sebaliknya digonyoh dan dibasuh untuk digunakan semula. Paling klasik, goodies perkahwinan anaknya ialah pulut kuning yang diletakkan dalam bekas-bekas aiskrim yang dikumpul sejak anaknya masih kecil.
Saya faham sikap orang-orang tua ini lahir daripada pengalaman hidup susah, kebiasaan membaiki serta menggunakan semula apa yang ada. Dalam cara hidup tersebut, terselit nilai berjimat, tidak membazir dan kreativiti.
Namun pada masa yang sama, saya mula menyedari bagaimana barangan yang disimpan atas niat baik itu perlahan-lahan menyesakkan ruang fizikal dan mental. Lebih-lebih lagi bila dapat tahu barang di sekeliling ini sebenarnya menyerap tenaga emosi kita.
Sehinggalah suatu hari saya ‘bertemu’ dengan Marie Kondo di dunia maya… yang akan dikupas dalam artikel seterusnya.

