Penyiasatan Tempat Kejadian Jenayah Dalam Dunia Diorama

“The Kitchen”

Di atas lantai dapur, terbaring seorang wanita pemakai apron yang tidak bernyawa. Roti masih berada di dalam ketuhar, kentang baru dikupas separuh di dalam sink. Apakah punca kejadian ini berlaku?

Sumber gambar: National Libarary of Medicine

Dalam dunia diorama, Frances Glessner Lee, anak-anak patungnya melalui peristiwa sadis misalnya ditikam, ditembak dan diracun. Siri diorama Nutshell Studies of Unexplained Death ini sebenarnya berdasarkan kes penyiasatan jenayah dalam dunia sebenar.

Sumber gambar: Harvard Magazine

Percaya atau tak, ilmu forensik pada zaman moden ini bermula di rumah anak patung berdarah ini.

Kehidupan awal Glessner

Glessner dilahirkan pada tahun 1878 di Chicago dan datang daripada sebuah keluarga berada di Amerika Syarikat. Dia bersekolah di rumah saja bersama abangnya, George.

Dia belajar tentang seni rumah tangga, sains dan sastera menerusi pendidikan di rumah. Glessner sangat suka membaca terutama sekali cerita-cerita Sherlock Holmes.

Sejak muda lagi Glessner gemar membuat miniatur (replika objek kenit), dia pernah buat konsert orkestra mini yang terdiri daripada 90 orang pemuzik. Hasil kerjanya sangat teliti, halus dan seolah-olah benda tu ‘hidup’.

Walaupun suka belajar dan cerdik, dia tidak senasib abangnya yang dapat pergi ke Harvard sebab ibu bapanya fikir perempuan tak perlu belajar tinggi-tinggi. Sebaliknya dia dikahwinkan dengan seorang peguam dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Akhirnya mereka bercerai pada tahun 1914, membebaskan Glessner daripada sebarang ‘expectations’ yang membelenggu dan dapat buat apa yang dia suka.

Minat bidang forensik dan kepolisan

Abangnya memperkenalkan dia kepada George Burgess Magrath, seorang pelajar perubatan di Harvard. Daripada lelaki itu, Glessner belajar tentang forensik kejadian jenayah dan cabaran untuk menyelesaikan kes-kes misteri.

Berbekalkan minat dan warisan harta pusaka keluarga, Glessner mengasaskan Department of Legal Medicine di Harvard untuk mengembangkan bidang forensik. Selain itu, dia turut bekerja di jabatan kepolisan di New Hampshire dan menjadi wanita pertama yang menjawat sebagai kapten di negara itu.

Dia menjemput para penyiasat untuk makan malam dan mengajak berbual tentang kes-kes jenayah. Pada masa itulah dia dapat mengenal pasti punca mengapa sukar sekali untuk mencari dalang dalam setiap kes; polis pada zaman itu tidak dilatih dalam bidang penyiasatan dan forensik.

Pada tahun 1945, Glessner mengadakan seminar dan latihan khusus untuk melatih polis dan menggunakan model lokasi pembunuhan 3D buatannya untuk praktis pemerhatian kejadian jenayah.

Mencari klu misteri pembunuhan

Dalam seminar, Glessner guna diorama, iaitu satu model tiga dimensi (3D) yang mengandungi pelbagai objek untuk menggambarkan situasi pembunuhan yang sebenar.

Pelajar diberi masa 90 minit untuk mengkaji model tersebut dan bentangkan penemuan mereka. Sebenarnya, motif utama diorama ini tidak semestinya untuk cari dalang dan selesaikan teka-teki itu tapi untuk melatih polis dan penyiasat ini untuk peka dengan sekeliling dalam mencari bukti-bukti yang menjadi kunci kepada misteri seperti dalam cerita Detektif Conan.

Sumber gambar: Curious.com

Setiap diorama termasuk perabot, pakaian dan figura itu dibuat dengan tangan Glessner sendiri dan hasil kerjanya sangat detail. Bukan itu saja, perkakas mini di dalamnya turut berfungsi misalnya pengunci pintu, tingkap, kerusi goyang dan alat perangkap tikus.

Sumber gambar: Smithsonian Magazine

Glessner menyiapkan dua diorama dalam masa setahun dengan bantuan seorang tukang kayu sejak awal tahun 1940. Kos pembuatannya sangat tinggi, malah dikatakan hampir menyamai harga sebuah rumah betul. Mujurlah dia kaya.

Karyanya yang paling dahsyat adalah “Three-Room Dwelling,” di mana sepasang suami isteri bersama bayi mereka mati ditembak. Walaupun mangsanya cuma patung, gambaran kejadian jenayah ini tetap kelihatan ngeri. Senjata tergeletak di lantai dapur, berhampiran kolam darah. Di dalam bilik, bayi ditembak dalam buaian meninggalkan kesan percikan darah di kertas dinding. Si isteri ditembak atas katil manakala suami pula terbaring dengan mukanya menghadap lantai dan terendam dalam darah.

Sumber gambar: The Wall Street Journal

Bayangkan, setting diorama ini berdasarkan mayat mangsa yang dibunuh lalu dijadikan sebagai persembahan miniatur? Hasil karya Glessner ini menjadi ilham kepada pembikinan rancangan TV CSI Las Vegas dalam episod bertemakan ‘Miniature Killer’.

Sumber:

HuffPost

Atlas Obscura

ABC News

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top