Akhirnya Dia Jumpa Mr Right, Tetapi Cuma Wujud Dalam Novel

Memberi sokongan padu, pendengar terbaik dan setia. Oh, dan hot.

Itulah ciri-ciri kekasih bayangan Amelia, berusia 28 tahun yang sudah hampir lima tahun menyandang status single. Sayangnya, lelaki idamannya hanya wujud dalam novel cinta.

Semuanya bermula pada tahun 2016, apabila perpisahan dengan teman lelakinya terjadi.

Sepanjang proses untuk melanjutkan hidup itu, berkotak-kotak tisu habis dan lagu ‘Unbreak My Heart’ nyanyian Toni Braxton berulang kali diputar sampai bateri phone minta nyawa.

Tak cukup dengan itu, perempuan itu turut menggunting gambar, dan padam semua foto kenangan mereka bersama di Instagram, sambil gigih mengintip segala kegiatan si mantan lewat semua akaun sosial media.

Ternyata bekas kekasih sudah moved on, bergerak laju tinggalkan dia yang masih tersekat di masa lalu. Saat orang-orang di sekelilingnya meraikan kejayaan mereka menemui pasangan sehidup semati, dia masih swipe aplikasi Tinder dan tercari-cari sesuatu bagi mengisi lohong hitam dalam hatinya.

Pada momen itulah dia kembali menumpukan pada cinta pertamanya iaitu buku-buku. Tiada apa yang dapat menguja dia lebih daripada berjalan di celah-celah rak di kedai buku terutama di bahagian novel-novel romantik.

Kekasih Fiksyen

Selama bertahun-tahun, Amelia dan novel-novelnya hidup harmoni. Dari kisah seorang wanita yang bersetuju untuk menyamar jadi wedding date kepada orang asing yang baru ditemui dalam lif sehinggalah watak putera serigala otot berketul-ketul dilayannya.

Daripada dia layan mesej-mesej prospek dalam aplikasi dating (ada yang jenis creepy, cheesy dan keji), Amelia rasa lebih baik dia melingkar dengan buku-bukunya pada hujung minggu.

Realiti perhubungan teruk buatkan dia mahu terus hidup dalam fantasi. Dia dah melalui apa rasanya bercinta dengan pasangan yang tak boleh pakai, mengongkong, membuatkan dia rasa bersalah untuk mengejar cita-cita, dan merendah-rendahkanya setiap kali dia cuba dedahkan ketakutan dan kelemahannya.

Ada ke lelaki yang tidak bertanduk begitu?

Ada- dalam novel kegermarannya. Apa yang best, tiada lagi sebarang patah hati di dalam itu dan membuatkan di sudah malas mahu memancing ikan dalam lautan sebenar.

Ditampar Realiti

Akhirnya dia meluahkan semua ini kepada ahli terapi.

Ahli terapi tersenyum.

Amelia membalas senyumannya, akhirnya ada orang faham dia! Tak tahulah kenapa keluarga dan kawan-kawannya runsing dengan hobinya dan suruh dia keluar find someone. Dia bukan buat benda bahaya pun, tenggelam dalam fantasi buku je!

Tapi senyumannya pudar bila si pakar mengungkapkan suatu kenyataan pahit,

“Kamu ni sebenarnya tengah sabotaj diri sendiri dengan cuba membuatkan dunia khayalan kamu itu jadi realiti. Kamu cuba play safe dan enggan beri peluang kepada mana-mana lelaki sekiranya mereka bukan seperti yang diimpikan dalam novel.

Mempunyai standard dan harapan itu bagus, cuma benarkan juga sudut ketidaksempurnaan seseorang itu berlaku dalam perhubungan contohnya dia tak suka makan durian atau berak tak flush. Tiada siapa yang miliki kisah sempurna di atas dunia ini.”

Amelia angguk-angguk lemah. Itulah sebabnya dia sanggup bayar khidmat si ahli terapi, untuk mengakui kelemahan dan isu peribadi yang sukar ditelannya selama ini.

Dia takut kisah cintanya tak sama seperti novel-novel yang dibaca.

Dia takut dia tak akan jumpa cintanya dengan cara sweet atau perfect meet cute—misalnya terlanggar bahu seseorang, lalu kutip buku-buku bertaburan atau tertukar buku sebelum bertukar hati dan nombor telefon di kedai buku.

“Ia tak akan pernah berlaku sekiranya kamu tunduk khusyuk baca sinopsis buku, tak lihat sekeliling, pakai sweater dan your face jerit menggambarkan ‘I have issues’. Tugas orang single ini bukanlah mencari cinta tapi cari segala batu penghalang dalam diri yang menyekat kebahagiaan sendiri.” kata si ahli terapi itu lagi setelah mendengar senario yang dicerekakan oleh Amelia.

Teruskan Hidup

Masih ada satu rak novel romantik yang tunggu giliran untuk dibaca Amelia. Tapi kini dia cuba simpankan juga tenaganya untuk menempuh kehidupan cinta sebenar.

Ada kalanya dia rasa patah semangat dan mahu balik ke mode hiatus itu semula.

Namun pada saat ini, Amelia mahu mengatur nafas dan bebaskan dirinya daripada sebarang tekanan untuk mencari Mr Right.

Sudah bertahun lamanya dia cuba mengawal naratif hidupnya, kini perempuan itu hanya mahu membiarkan alam semesta memberi kejutan dan ‘happily ever after’ itu datang sendiri kepadanya.

Satu perkara yang dia belajar daripada genre romantik, best moment selalunya berlaku dalam keadaan tak terjangka. Kita hanya perlu menyelak halaman muka surat seterusnya.

Image by Piyapong Saydaung from Pixabay

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error

Tekan butang share :)

error: Content is protected !!
Scroll to Top